Tiga
bulan yang lalu, kita telah sama-sama mengaminkan doa yang dipimpin oleh tuan
imam di kariah masing-masing pada malam sambutan awal tahun hijrah 1434. Mari
kita imbas kembali bait-bait yang terkandung di dalam doa tersebut ;
Doa Awal Tahun
“
Segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam,
Rahmat dan sejahtera atas penghulu kami Nabi Muhammad
dan
atas keluarga dan
sahabat-sahabat baginda sekalian
Ya
Allah,
Wahai
Tuhan kami,
Dikaulah
jua Tuhan kami yang kekal selamanya,
Sedia
ada lagi tiada permulaan
Kelebihan-Mu
Maha Besar
Dan
kemurahan-Mu amat limpah yang sangat-sangat diharapkan
Tibalah
sudah tahun baru
Kami mohon kepadamu agar terpelihara kami sekalian
Di dalam tahun baru ini
Daripada tipu-daya syaitan terlaknat
Juga daripada konco-konco syaitan dan bala
tenteranya
Dan kami mohon daripadaMu akan pertolongan
mengalahkan runtunan nafsu ammarah
(nafsu yang mendorong kepada jalan-jalan
kejahatan)
Kami mohon
juga kepadaMu Ya Allah
Akan rasa
sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan
Yang boleh
mendampingkan diri kami kepadaMu
Ya Allah
Tuhan Yang Maha Agung Lagi Maha Mulia
Ya
Allah
Tuhan
Yang Sebaik-baik Yang Mengurniakan Rahmat
Barang dicucuri rahmat apalah kiranya Ya Allah
Dan sejahtera atas Junjungan kami Nabi
Muhammad serta keluarga
dan sahabat-sahabat baginda sekalian
segala pujian itu bagi Allah Tuhan
pentadbir seluruh alam
Amin Ya Rabbal ‘Alamin
Doa ini
nampak ringkas tetapi dalam maknanya. Pernahkah kita terfikir mengapa penyusun
doa ini menyusun frasa memohon perlindungan kepada Allah daripada godaan hawa
nafsu dan syaitan terlebih dahulu dalam doa ini?
Bagi
menjawab persoalan ini, mari kita sama-sama hayati hadith ke-41 yang dipetik
daripada “Kitab Hadith 40” susunan Imam
Nawawi.
“Dari
Abī Muhammad ‘Abdillāh bin ‘Amrū bin al-As radiyallahu ‘anhuma katanya : Rasūlullāh
sallahu ‘alayhi wa sallam bersabda : Tidak beriman seorang kamu sehingga adalah
hawanya (kemahuannya atau kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku bawa
dengan dia”.
(Hadith
hasan lagi sahih, kami riwayatkannya dalam kitab “al-Hujjah” dengan isnad yang
sahih)
Syarah
hadith:
Rasulullah
telah menerangkan dalam hadith di atas tentang konsep keimanan pada suatu
yang dibawa. Hal ini kerana dalam mempertahankan iman itu setiap manusia
pasti akan menerima gangguan dan bisikan hawa nafsu dan syaitan. Oleh itu,
terjadilah konflik dalam diri manusia itu sama ada untuk membentengi imannya atau
meruntuhkan imannya.
Maksud
“keimanan pada suatu yang dibawa” ialah mengikut jalan orang mukmin dengan
menjalani kehidupan seharian berlandaskan apa yang diajar di dalam al-Qur’an
dan as-Sunnah. Menurut Imam Nawawi,
“Seorang
mukmin itu wajib menyesuaikan amalan-amalannya dengan kitab (Qur’an) dan Sunnah
dan menyalahi hawa nafsunya dan mengikuti apa yang dibawa Rasulullah sallallahu
‘alayhi wasallam”.
Membentengi iman bukanlah satu perkara yang mudah dan ia memerlukan
satu kuasa dalaman yang tinggi untuk menundukkan hawa nafsu. Hawa nafsu adalah
punca segala kejahatan. Menuruti hawa nafsu merupakan asbab runtuhnya iman,
akhlaq dan kesejahteraan hidup manusia. Dalam hadith ini juga mengatakan
terlaksananya segala kebaikan yang diperintah agama serta terjauhnya segala
kejahatan yang dilarang adalah disebabkan mendahului iman dari kemahuan hawa
nafsu. Sebaliknya dengan mendahului hawa nafsu, maka segala kebaikan tidak akan
berlaku, kerana hawa nafsu tidak pernah bersetuju dengan suatu yang dikehendaki
iman.
Intisari hadith di atas jelas menunjukkan hawa nafsu
dapat dikalahkan dengan kekuatan iman. Kekuatan iman dapat diperolehi dengan cara menjadikan al-Qur’an
dan as-Sunnah sebagai cara hidup kita. Justeru, apa kaitannya dengan doa di atas pula? Nah, doa di atas ialah salah
satu cara kita mengadu kepada Allah. Lagi banyak kita mengadu lagi kasih Allah
kepada kita kerana kita ini adalah hambaNya yang lemah dan faqir. Oleh itu,
marilah kita sama-sama memerangi hawa nafsu dan meninggalkan amalan-amalan yang
tidak disukai Allah dan Rasul supaya kita sentiasa mendapat perlindunganNya pada tahun 1434
Hijrah ini.
Disediakan oleh : Hasliza binti Mohamad Ali (Exco Penyelidikan Abim Johor)