Disember 09, 2009 / Kategori: ,

Takziah: Keluarga Ustaz Ali Ahmad

Johor Bahru : Tanggal 8 Disember 2009 bersamaan 21 Zulhijjah 1430H perginya seorang lagi ahli keluarga ABIM Johor, Ustazah Hjh. Minah Binti Md. Sani isteri kepada Ustaz Haji Ali Bin Ahmad, mantan pimpinan ABIM Johor. Kembalinya Allahyarhamah ke rahmatullah pada jam 2.30 petang di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Tambah memilukan, 13 hari yang lepas pada 25 November 2009 anak kesayangan Allahyarhamah, Sdri. Adibah Binti Ali (Exco PKPIM Pusat) telah terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang daripada Jembori KPIJ di Tanjung Laboh, Batu Pahat yang telah mengakibatkan kini beliau terlantar di rumah dan tidak mampu untuk berdikari sendiri.



Atas dasar ehsan sesama insan serta ukhwah sesama jemaah, ABIM Negeri Johor menggerakkan DANA PRIHATIN untuk membantu meringankan beban Ustaz Haji Ali Bin Ahmad sekeluarga. Untuk sebarang sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad : 01014010045659 atas nama Tabung Prihatin atau terus menghubungi Sekretariat ABIM Negeri Johor : 07-2216355 / 019-7718648. Semoga segala sumbangan dan keprihatinan kita semua dirahmati Allah.

AMAR M.N.M


komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

/ Kategori: ,

Usrah Wida’ : Jamaludin Songip

08 Disember 2009, ABIM Negeri Johor telah mengadakan Majlis Doa Selamat dan Usrah Wida’ untuk menghargai segala pengorbanan dan jasa yang telah ditaburkan oleh Sdr. Jamaludin Bin Songip, mantan Setiausaha ABIM Negeri Johor sepanjang hampir 11 Tahun beliau bersama ABIM Negeri Johor sebagai exco ABIM Negeri Johor dan pernah memimpin As Sakinah Management (Agensi ABIM Johor).

Sdr. Jamaludin dan keluarga dijadualkan menaiki penerbangan ke Australia pada 13 Disember 2009 untuk menemani isteri beliau, Puan Nurhanis Bin Mohamad Radzi menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.

Majlis yang diadakan turut dihadiri oleh pimpinan ABIM Negeri Johor, wakil WADAH Johor dan wakil pimpinan PKPIM-UTM. Semoga Sdr. Jamaludin sekeluarga terus sukses dengan kehidupan mencabar di perantauan.

Abu Muhammad II

komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

Disember 02, 2009 / Kategori: ,

Fahami Adab Ikhtilaf


Baru-baru ini masyarakat Islam di negara ini kerugian banyak kualiti waktu mereka disebabkan pertembungan aliran pemikiran dan pendekatan berdakwah antara pendakwah. Sesungguhnya, pertembungan yang membawa sehingga kepada pendakwaan dan ugutan saman menyaman antara pendakwah boleh dielakkan sekiranya tradisi serta budaya mengenai adab berbeza pendapat serta kefahaman mengenai keutamaan dakwah di dalam Islam dihayati seluruh pendakwah di negara ini.

Sebenarnya, pertembungan aliran pendekatan dan pemikiran di dalam berdakwah ini bukanlah perkara baru dalam tradisi peradaban Islam. Perbezaan di dalam berpandangan adalah suatu fitrah kehidupan. Agama Islam amat meraikan keadaan fitrah ini. Istilah yang sering digunakan al-Quran bagi menggambarkan keadaan perbezaan ini ialah 'ikhtilaf'.

Ini dapat dilihat menerusi firman Allah: "Sesungguhnya kamu benar-benar dalam keadaan berselisih pendapat". (al-Dhariyat : 8) Di dalam ayat lain Allah berfirman, "Sesungguhnya Tuhan kamu akan memutuskan antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka perselisihkan". (Yunus : 93).

Walaupun al-Quran mengesahkan mengenai fitrah 'ikhtilaf' atau perbezaan pendapat ini, ia tidak bermakna bahawa agama Islam menganjurkan keadaan perbezaan itu. Malah di dalam beberapa ayat al-Quran yang lain, Allah amat bertegas dan memberi amaran keras kepada sesiapa yang sengaja mewujudkan perbezaan di dalam agama sehingga membawa kepada suasana pertelingkahan dan perpecahan sesama sendiri.

Di dalam hubungan ini, Allah berfirman, "Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah hingga menyebabkan kamu gagal dan hilang kekuatanmu". (al-Anfal : 46). Di dalam ayat yang lain Allah berfirman, "Dan janganlah kamu termasuk orang mempersekutukan Allah, iaitu orang yang memecahbelahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan berasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka". (al-Rum : 31-32).

Berdasarkan pedoman ayat al-Quran di atas, ia memberi pengajaran mengenai dua keadaan yang perlu kita bezakan iaitu antara ikhtilaf atau perbezaan dan pertembungan. Di dalam erti kata lain, ikhtilaf dan perbezaan adalah suatu fenomena yang harus didepani dan ditangani oleh setiap manusia di muka bumi.

Kita tidak boleh lari daripada berdepan dengan kepelbagaian sikap, tabiat dan pandangan di dalam kehidupan yang rencam ini. Namun, perbezaan ini tidak harus membawa kepada pertembungan. Dan, inilah cabaran utama umat Islam hari ini iaitu untuk menjadikan fenomena perbezaan sebagai suatu yang memperkayakan dan bukan sebagai perkara membawa kepada pertembungan dan perbalahan sehingga menghilangkan kekuatan.

Sesungguhnya cabaran untuk umat Islam mewujudkan keadaan di mana perbezaan yang boleh memperkayakan, adalah suatu tuntutan utama pada masa kini. Ini kerana, sejak kemerosotan peradaban umat Islam, kesan daripada kejatuhan Baghdad pada pertengahan abad ketujuh Hijrah, umat Islam seolah-olah kehilangan suatu suasana budaya yang boleh memperkayakan mereka menerusi kepelbagaian perbezaan yang wujud di dalam masyarakat.

Kebudayaan umat Islam sejak era kemerosotan peradaban mereka, menjadikan perbezaan sebagai punca untuk mewujudkan pertembungan. Akibatnya, perbezaan pandangan yang seharusnya membawa kepada kekayaan sudah berubah menjadi sumber kelemahan.

Keadaan ini amat berbeza sekali pada ketika umat Islam di era kemajuan kebudayaan mereka. Perbezaan di dalam berpandangan dan pendekatan, memperkayakan tamadun dan kebudayaan umat Islam itu sendiri.

Oleh kerana itu, sekiranya kita mengkaji sejarah pemikiran dan kebudayaan Islam, perkembangannya banyak didorong oleh keluasan pandangan di dalam menerima kepelbagaian diperoleh menerusi perbezaan yang rencam.

Di dalam penelitiannya mengenai sejarah perkembangan pemikiran Islam, Majid Fikri di dalam bukunya A History of Islamic Philosophy (2004), menyatakan bahawa pemikiran Islam adalah suatu hasil daripada proses yang rencam, disumbangkan oleh sumber pemikiran diperoleh daripada orang Syria, Arab, Parsi, Turki, Berber dan lain-lain.

Kesuburan dan kesegaran budaya perbezaan yang memperkayakan boleh ditinjau di dalam perkembangan manhaj atau model penetapan hukum di dalam perundangan Islam. Pembentukan dan perkembangan manhaj perundangan Islam yang pelbagai disandarkan kepada nama Imam utama seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi'iy dan Imam Ahmad ibn Hanbal dan Imam al-Zahiriy di dalam sejarah peradaban Islam tidak mungkin akan berlaku sekiranya budaya perbezaan yang memperkayakan tidak wujud di dalam masyarakat Islam.

Cabaran utama membina semula suatu kebudayaan hidup umat Islam yang boleh mendorong perbezaan kepada suatu kekayaan peradaban harus menjadi suatu usaha berterusan. Usaha ini secara langsung akan dapat mengatasi masalah perseteruan dan pertembungan yang sering dialami umat Islam hari ini akibat perbezaan pandangan.

Sebagai suatu panduan kepada umat Islam di negara ini di dalam memahami suasana pertembungan aliran pendekatan yang terjadi pada hari ini, kita ingin menganjurkan mereka supaya menelaah semula dua buku yang dikupas dengan mendalam oleh dua tokoh ulama dan pemikir Islam semasa.

Buku itu ialah, pertama, Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam, ditulis oleh Dr Taha Jabil al-Alwani, (1993). Kedua ialah Fiqh Keutamaan Berasaskan al-Quran dan al-Sunnah, ditulis oleh Dr Yusof al-Qardawi, (2001). Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Kita ingin menganjurkan umat Islam membaca kedua-dua buku ini kerana ia boleh memberi banyak panduan di dalam mendepani kepelbagaian perbezaan di dalam kehidupan terutama di dalam berpandangan seterusnya menjadikan perbezaan suatu yang memper-kayakan.

Menurut kedua-dua tokoh ini, perbezaan boleh menjadi suatu yang memperkayakan sekiranya umat Islam mengikuti dua disiplin penting iaitu, pertama, mengutamakan adab di dalam berbeza pendapat dan kedua, memahami isu dakwah dan perjuangan Islam menerusi satu pandangan menyeluruh yang boleh didapati menerusi ilmu keutamaan di dalam Islam.

Kedua-kedua disiplin ini dilihat suatu yang amat penting sekali dimiliki umat Islam hari ini. Disiplin ilmu ini akan menjadikan umat Islam sentiasa memandang tinggi seluruh sumber ilmu yang ada di dalam tradisi pemikiran manusia.

Pada masa sama, ia boleh mewujudkan perasaan rendah diri kita sebagai seorang Muslim berdepan dengan kekayaan pelbagai ilmu yang diwarisi daripada ulama dan ilmuwan terdahulu. Keadaan ini menjadikan kita sentiasa berhati-hati di dalam berhujah dan memberikan pendapat dan ia boleh mengelakkan kita terjebak di dalam budaya 'kebiadaban intelektual.'

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua buku ini, orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Abim Pusat menerusi e-mel: sap@abim.org.my atau menelefon: 016-2081300.

Muhamad Razak Idris
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

November 27, 2009 / Kategori: ,

Perutusan Eiduladha 1430H

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah kerana telah memberikan kita peluang untuk bertemu dengan Hari Raya Eiduladha pada tahun ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi'in, tabi'it tabi'in dan semua pejuang da'wah di sepanjang zaman.

Hari Raya Eiduladha yang juga dikenali sebagai hari Raya Qurban merupakan antara hari kebesaran Islam yang utama dan sewajarnyalah kita menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan penuh rasa pengabdian kepada Allah s.w.t.  Di samping melaksanakan amalan-amalan sunnah pada hari raya ini seperti solat sunat hari raya, bertakbir hari raya dan melaksanakan ibadah qurban, sewajarnyalah juga kita menghayati semangat pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. sewaktu mereka diuji oleh Allah s.w.t. dalam peristiwa Qurban yang mana Nabi Ibrahim diwahyukan agar mengorbankan sesuatu yang paling disayanginya iaitu anaknya sendiri.

Kita juga boleh mengambil pelajaran daripada peristiwa ini bagaimana usaha untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini perlukan banyak pengorbanan, baik dari segi harta dan wang ringgit, masa, kesenangan malah ada kalanya jiwa dan raga. Mungkin kita patut bertanya kepada diri kita apa yang telah kita korbankan untuk agama yang tercinta ini? Pasti jawapannya tentu tidak setanding dengan apa yang telah dikorbankan oleh para nabi, rasul, ulama malah tokoh-tokoh pemimpin Islam sepanjang zaman.

Dalam konteks ABIM Negeri Johor, cuba kita lihat kembali pengorbanan yang telah dilakukan oleh Al-Marhum Ustaz Hj. Abdul Manan yang merupakan YDP ABIM Negeri Johor yang pertama. Sepanjang hayat beliau, begitu banyak masa, tenaga dan harta yang telah beliau infakkan untuk memastikan survival Islam dan gerakan umat terus diperkasa. Dari aspek kehidupan keperibadiannya, beliau hidup sangat sederhana dan hingga ke akhir hayat, beliau hanya tinggal di rumah sewa yang hanya dilengkapi keperluan asas sahaja. Sememangnya kita semua generasi muda yang mewarisi pekerjaan mulia ini perlu sebanyak mungkin cuba mencontohi contoh teladan apa-apa yang baik yang ada pada mereka generasi awwalin ini. Pada hari raya ini sama-samalah kita menghayati semangat qurban para nabi dan generasi awwalin bagi meningkatkan komitmen kita kepada amanah agung ini membawa misi rahmatanlil’alamin. Dalam kita menguruskan era transisi jemaah pada seluruh peringkat dan agensi pelbagai situasi dan isu berbangkit dan seharusnya diimplementasi semangat roh pengorbanan ini agar generasi muda yang meneruskan kesinambungan mata rantai perjuangan ini terus istiqomah dan sentiasa berjiwa besar.

Sahabat-sahabat yang jauh diperantauan turut ditagih bantuan idea bagi terus menyokong sahabat-sahabat di pangkalan. Sunnah perjuangan ada yang harus terjun ke medan perjuangan dan harus ada sebahagiannya berjuang di medan ilmu.

Semoga perjuangan suci ini sentiasa dalam redha-Nya. Bagi sahabat-sahabat yang telah mendahului kita semua, moga mendapat ganjaran-Nya yang hakiki dan juga memberikan semangat dan kekuatan untuk kita yang tinggal bagi meneruskan lagi misi dan visi da'wah di muka bumi-Nya ini.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahil-Hamd."

Dr. Haji Shahrum Shah Abdullah
Yang Di-Pertua 

ABIM Negeri Johor



komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

November 26, 2009 / Kategori: ,

Perhalusi Pindaan Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian) : SUA

Pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 kembali menjadi polemik apabila pihak Jabatan Peguam Negara, mengemukakan cadangan untuk pindaan yang akan memberikan hak kepada suami atau isteri yang memeluk Islam untuk memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil.

Cadangan pindaan induk dapat dilihat melalui cadangan untuk meminda sub seksyen 51(1) akta tersebut, yang memperuntukkan hanya pasangan yang bukan Islam sahaja yang boleh memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil. Ini bermakna selagi pasangan tersebut tidak membuat sebarang permohonan petisyen perceraian, maka perkahwinan sivil tersebut masih sah walaupun pasangannya telah memeluk Islam.

Secara umumn, ABIM menyambut baik pindaan ini dan menyarankan agar ia disegerakan bagi mengelakkan sebarang polemik khususnya melibatkan status perkahwinan dan agama pihak-pihak yang berkenaan daripada berterusan. Justeru, pindaan ini harus dilihat dari perspektif yang lebih kondusif demi menjaga kepentingan dan kebajikan pihak-pihak yang terlibat.

Walaupun pindaan tersebut hanya membabitkan sub seksyen 51 akta terbabit, tetapi ABIM juga menilai pindaan ini akan memberikan kesan yang besar terhadap seksyen-seksyen lain di dalam akta yang sama, terutama sekali melibatkan aset perkahwinan, pemberian nafkah, hak penjagaan anak, liabiliti dan tanggungan yang berkaitan dengan perceraian yang disebabkan oleh tindakan salah seorang pasangan terbabit memeluk Islam.

Justeru, ABIM juga menyarankan agar pindaan ini turut diteliti, memandangkan ia (pindaan) akan turut memberikan kesan terhadap peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam akta serta enakmen Undang-undang Keluarga Islam. Ini untuk mengelakkan pindaan ini dari mengurangkan serta menjejaskan kredibiliti, hak dan bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Dalam hal ini, ABIM juga menganjurkan agar pandangan pihak-pihak yang mempunyai autoriti dalam isu terbabit seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Jabatan Mufti dipertimbangkan, bagi mendapat pandangan mengenai pindaan tersebut dari sudut Hukum Syarak, kesan serta implikasi pindaan ini turut menyentuh isu serta hak beragama dan status agama anak-anak daripada perkahwinan tersebut.

ABIM juga mencadangkan pandangan yang dikemukakan oleh pakar undang-undang serta ahli akademik diambil kira bagi mencanai cadangan proses harmonisasi undang-undang sivil dan syariah diteliti dan diperhalusi bagi memastikan Essence (intipati) dan Spirit (hasrat) perundangan Syariah tetap dipertahankan, walaupun prosiding tersebut dilaksanakan di Mahkamah Sivil.

Mohamad Raimi Abd Rahim
Setiausaha Agung ABIM
25 November 2009 / 8 Zulhijjah 1430H


komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

November 25, 2009 / Kategori: ,

Ikhtifal Taski ABIM Mersing

Majlis Ikhtifal Taski Al-Hilal ABIM Mersing telah diadakan pada 14 November 2009 bermula pada pukul 08.45 pagi dengan dimulai oleh bacaan dan terjemahan ayat-ayat suci Al-Quran daripada murid enam tahun . Majlis ikhtifal yang dihadiri lebih 100 orang bagi menghargai pencapaian cemerlang dan juga tamat sesi pembelajaran bagi 70 murid-murid yang berumur antara 3 hingga 6 tahun. Majlis dirasmikan oleh Sdr. Halimi Bin Hj. Kolan selaku Setiausaha Kewangan ABIM Negeri Johor mewakili YDP ABIM Negeri Johor.

Dalam ucapannya, beliau merakam kan penghargaan kepada ibu-bapa dan masyarakat yang menyokong usaha-usaha islamisasi pendidikan sejak awal usia anak-anak mereka. Majlis ini dimeriahkan lagi dengan sesi bercerita dan nasyid daripada murid-murid taski. komitmen ibu-bapa sangat baik kerana semua hadirin beredar selepas tamat majlis. Majlis diakhiri kira-kira pukul 10.45 pagi. 

komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

November 18, 2009 / Kategori: ,

Ikhtifal Taski ABIM Kota Tinggi

KOTA TINGGI : Ibubapa dan penjaga diseru untuk terus menyokong institusi pendidikan Islam terutamanya bagi pendidikan anak-anak di awal usia. Ini kerana sebagai seorang Muslim, kita percaya bahawa kehidupan ini mesti berlandaskan fitrah. Sebagai contoh, fitrah proses siang dan malam. Allah menjadikan siang untuk manusia bekerja atau menuntut ilmu atau sebagainya, manakala malam dijadikan untuk manusia berehat. Justeru, jika fitrah ini dilawan dengan waktu kerja dan tidur yang tidak menentu, dengan itu boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh badan kita sendiri.

Oleh yang demikian, fitrah kehidupan manusia yang paling asas adalah dengan beragama Islam. Perkara ini penting kerana menurut Prof. Dr. Sidek Baba, pakar pendidikan anak-anak yang juga merupakan mantan Exco ABIM Pusat, tempoh paling kritikal dalam pendidikan anak-anak sebenarnya ialah pada sebelum usia 7 tahun. Demikian antara yang ditekankan dalam isi utama ucapan perasmian yang telah disampaikan oleh saudara Zoolhilmi Ahmed, Ketua Exco Dakwah dan Pembangunan Sosial ABIM Negeri Johor ketika hadir merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Tadika Nurul Iman Bestari Kota Tinggi yang berlangsung di Dewan Sekolah Arab Bandar Tenggara, Kota Tinggi pada 15 November 2009 yang lalu. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha ABIM Daerah Kota Tinggi, saudara Nizaruddin Aznan yang mewakili ABIM Kota Tinggi sebagai penganjur bersama.

Majlis ikhtifal taski ABIM Kota Tinggi pada kali ini telah dijalankan secara sederhana namun tetap meriah dengan kehadiran ibubapa yang menggalakkan dan persembahan-persembahan dari anak-anak pelajar dengan gelagat yang sangat mencuit hati. Program ini begitu berseri dengan lebih 10 persembahan oleh para pelajar taski seperti bercerita, laungan azan, sajak, nasyid, boria dan lain-lain.



Tadika Nurul Iman Bestari adalah satu-satunya taski ABIM di Kota Tinggi dan mendapat perhatian yang menggalakkan di kalangan ibubapa. Terima kasih atas sokongan ibubapa yang masih terus komited kepada pendidikan ABIM terutamanya di Negeri Johor. InsyaAllah, kami di pihak ABIM akan terus sentiasa berusaha meningkat mutu dan kualiti pendidikan di peringkat pra-sekolah ini terutamanya.


komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

November 17, 2009 / Kategori:

Ikhtifal Taski ABIM Pontian



Bertempat di Dewan Terbuka Kobena Kolej Kemahiran Belia Negara (KKBN) Pontian, telah berlangsungnya Ihktifal atau Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Kecemerlangan Tadika Al-Huda daerah Pontian bagi sesi tahun 2009. Majlis yang telah diadakan pada 14 November 2009 yang lalu ini melibatkan kehadiran lebih 100 orang pelajar termasuk guru-guru, ibubapa dan jemputan-jemputan lain. Menariknya majlis pada kali ini ialah apabila aturcara yang dijadualkan bermula seawal 8.30 pagi telah didahului dengan bacaan tadarus Al-Quran oleh 3 orang pelajar taski sementara menantikan ketibaan perasmi bagi memulakan aturcara. Tahniah kepada guru-guru dan penyelia taski yang mendidik anak-anak kecil ini.

Alhamdulillah, majlis setengah hari ini berjalan dengan baik terutama dengan kehadiran tetamu jemputan utama iaitu Pn. Irny Suzila Ishak, Ketua Exco Pendidikan ABIM Negeri Johor yang mewakili YDP ABIM Negeri Johor, Ustaz Omar Maidin, Yang Di-Pertua ABIM Daerah Pontian dan En. Fadzil, Timbalan Pengarah KKBN Pontian. Selain itu, persembahan sampingan yang terdiri daripada bacaan Al-Quran dan terjemahan, nasyid, dan boria turut menyerikan lagi majlis yang berlangsung.

Ucapan perasmian dan penyampaian sijil serta hadiah kecemerlangan telah disempurnakan oleh Pn. Irny Suzila Ishak, Ketua Exco Pendidikan ABIM Negeri Johor. Antara yang disentuh dalam ucapan perasmiannya ialah aspek pendidikan anak-anak yang melibatkan trend masa kini iaitu pendidikan seawal 4 tahun di taska. Beliau mengingatkan agar ibubapa memainkan peranan yang proaktif ketika usia anak-anak pada waktu ini supaya kesan-kesan negatif secara langsung dari taska boleh dielakkan walaupun pada asasnya langkah menghantar ke taska itu suatu langkah yang baik dan betul memandangkan ramai ibubapa yang berkerjaya kini.

Ihktifal kali ini melibatkan 3 buah taski (tadika) yang beroperasi di Pontian iaitu cawangan Api-Api, Ayer Baloi dan Benut. Pihak ABIM Daerah Pontian dan Tadika Al-Huda telah mengirimkan kenyataannya kepada pihak sekretariat bagi menyampaikan ucapan ribuan terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis ini.

komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

/ Kategori: ,

Ikhtifal Taski ABIM Muar


Alhamdulillah pada hari Ahad , 15 November 2009 bersamaan dengan 27 Zulqaedah 1430 H telah berlangsung Konvokesyen Tadika dan Tahfiz Al-Hidayah zon bandar, Muar.  Majlis telah dilangsungkan di PPA ABIM Muar dan telah dihadiri oleh lebih 100 orang ibu dan bapa beserta pelajar-pelajar tadika/tahfiz tersebut.  Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YDP ABIM daerah Muar, Tn. Hj. Shahrol b. Hj. Abu Samah.  Beliau antara lain mengucapkan terima kasih kepada semua ibu-ibu dan bapa-bapa yang masih memilih pendidikan Islam yang dibawa oleh ABIM di daerah Muar walaupun banyak tadika-tadika lain yang telah mula beroperasi sejak kebelakangan ini. 

Perasmian majlis telah disempurnakan oleh YDP ABIM Negeri Johor, Dr. Shahrum Shah b. Abdullah.  Dilam ucapannya antara lain menyentuh tentang tujuan majlis ihtifal diadakan iaitu bagi menandakan tamatnya seorang pelajar melalui sebuah proses pendidikan dan juga sebagai peringatan atas amanah ilmu yang dipikul setelah tamat pengajian.  Beliau menegaskan bahawa apa yang ingin dilahirkan oleh sistem pendidikan TASKI-SRI-SMI-KDH adalah insan yang bukan sahaja mempunyai kebolehan akademik tetapi juga sedar akan amanah yang perlu disandang oleh seorang ilmuwan.  Dua amanah penting juga ditekankan iaitu pengabdian kepada Allah dan kebaktian kepada masyarakat.  Antara sebab berlakunya pelbagai masalah seperti rasuah, pecah amanah dan lain-lain lagi adalah kerana wujudnya ilmuwan yang lupa dengan amanah yang dipikulnya. 

Majlis ini juga telah diserikan dengan beberapa persembahan menarik oleh pelajar-pelajar tadika Al-Hidayah yang antara lain menunjukkan hasil pendidikan bersepadu yang menunjukan identiti Islam yang telah mereka lalui di tadika masing-masing.

Abu Muhammad (II)




komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

November 16, 2009 / Kategori: ,

Kemaskini Penamaan Waris Akaun KWSP

Kepada : Untuk tindakan semua pengurus Agensi ABIM Johor

Sukacita dimaklumkan, bermula 15 November 2009 KWSP melancarkan kempen berkaitan kemaskini penama bagi pewaris bagi pemilik akaun KWSP. Berikut ialah info berkaitan perkara tersebut :

Kematian amat menyedihkan dan ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada orang tersayang. Anda perlu merancang bagi mengelakkan ahli keluarga menderita sekiranya anda meninggal dunia terutama sekali jika keluarga bergantung nafkah kepada anda.

Dengan membuat penamaan KWSP dan mengemaskinikannya, ahli keluarga boleh mengeluarkan simpanan KWSP anda dengan mudah jika berlaku kematian.

Jika anda TIDAK membuat dan mengemaskini penamaan, perkara berikut mungkin akan berlaku kepada keluarga anda:

1.    Mereka terpaksa melalui proses yang sukar untuk mendapatkan dokumen-dokumen seperti Surat Kuasa Mentadbir, Surat Probet atau Perintah Pembahagian daripada pihak berkuasa sebagai dokumen sokongan untuk mengeluarkan simpanan KWSP. Proses ini mengambil masa yang lama dan kemungkinan dikenakan bayaran oleh pihak berkuasa berkaitan. Sebaliknya, jika penamaan KWSP telah dibuat, semua dokumen ini tidak diperlukan dan proses pengeluaran simpanan akan menjadi lebih mudah dan lancar.

2.    Pihak berkuasa yang mengeluarkan dokumen sokongan akan menentukan keutamaan individu yang layak menerima simpanan anda. Ini boleh menyebabkan berlaku konflik di kalangan ahli keluarga. Jika penamaan telah dibuat, simpanan KWSP akan dibayar kepada penama yang telah anda namakan. Untuk ahli beragama Islam, penama akan bertindak sebagai pentadbir (wasi) yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan anda mengikut Hukum Faraid.

Oleh hal yang demikian, pihak Sekretariat ABIM Negeri Johor meminta kerjasama proaktif daripada semua pengurus agensi ABIM Johor menggerakkan staf di bawah tanggungjawab tuan yang memiliki akaun KWSP agar menyegerakan urusan tersebut. Tindakan proaktif tuan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.
   
Sekian, terima kasih

“ 1 UMMAH 1 HALA TUJU ”

Yang benar,
MOHD SALEHUDDIN BIN AHMAT MISKAM
Setiausaha ABIM Negeri Johor (019-7718648)
Sesi 2009/2010


Daripada : Sekretariat ABIM Negeri Johor



komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

/ Kategori: ,

Ikhtifal Taski ABIM Segamat

Alhamdulillah pada hari Sabtu, 14 November 2009 bersamaan dengan 26 Zulqaedah 1430 H telah berlangsung Majlis Konvokesyen Tadika Ar-Raudhoh daerah Segamat.  Majlis yang dilangsungkan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Segamat ini telah dihadiri oleh lebih 250 orang ibu dan bapa berserta pelajar-pelajar tadika tersebut. 

Majlis telah bermula sejak 8.30 pagi dan telah dirasmikan oleh YDP ABIM Negeri Johor, Dr. Shahrum Shah bin Abdullah.  Dalam ucapannya antara lain menyentuh tentang kepentingan sistem pendidikan bersepadu untuk memberikan persediaan awal yang baik untuk anak-anak bagi menghadapi cabaran yang berbagai ragam dalam era globalisasi ini.  Beliau juga menyentuh tentang sistem pendidikan al-Hikmah yang telah lama dibawa oleh ABIM dan WADAH bagi melahirkan insan yang sempurna dan tahu halatuju hidup dan mampu memberikan sumbangan kepada umat.  Majlis juga telah disempurnakan dengan kehadiran tetamu jemputan yang terdiri dari mantan pimpinan ABIM, AJK BAKA dan pimpinan ABIM daerah.  Majlis diserikan dengan beberapa persembahan menarik oleh pelajar-pelajar tadika Ar-Raudhoh yang antara lain menunjukkan hasil pendidikan Islami yang telah mereka lalui di tadika masing-masing.


Abu Muhammad (II) 

komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share

November 15, 2009 / Kategori: ,

Hargai Sumber Intelektual Islam

Perbezaan pendapat hasil kajian, penyelidikan boleh pertingkat ilmu pengetahuan ummah

Oleh : Hasliza Hassan

Tindakan mengehadkan sumber hukum hanya akan menyempitkan pandangan terhadap syiar Islam dan membantutkan penyuburan ilmu, sedangkan Islam menggalakkan umatnya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata sikap membataskan pandangan terhadap sumber hukum juga akan merugikan umat Islam.

Katanya, perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.

"Islam sendiri membenarkan perbezaan pandangan atas perkara tertentu dan ia hendaklah dilakukan mengikut caranya. Jangan pula apabila berbeza itu kita mendabik dada mengatakan kita lebih baik dan mencemuh orang lain.

"Dalam bab hukum ini, jika hendak faham belajarlah usul fiqh," katanya pada seminar dakwah Memperkukuhkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah: Isu dan Cabaran Semasa anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar al Hikmah, Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.

Hashim berkata, dalam masalah cabang yang menjadi amalan umat Islam ada yang tidak mempunyai dalil khusus tetapi hujah berpandukan kepada dalil umum yang dikembangkan dan disusun dengan sempurna oleh ulama nusantara.

Antaranya, amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan.

Mengenai susunan zikir pula, Hashim berkata, ia adalah ijtihad ulama yang menyusunnya dengan tujuan memudahkan masyarakat umum yang mungkin tidak tahu apa hendak dibaca untuk meningkatkan amalan serta mendekatkan diri kepada Allah.

Begitu juga katanya, dengan amalan lain yang dikatakan tidak dilakukan Rasulullah SAW tetapi ulama melihat akan kebaikannya untuk mengembalikan dan mendekatkan umat Islam kepada ajaran Islam.

"Tidak ada dalil khusus tetapi ada dalil umum, jadi jangan terkeliru kerana ini akan merugikan umat Islam. Perlu faham kenapa ada galakan membaca Yasin yang menjadi amalan sejak dulu, kerana ketika Islam mula datang tidak ramai boleh membaca al-Quran.

"Jadi ulama kata, mari kita berkumpul dan baca ayat al-Quran iaitu surah Yasin. Jika dihalang, apa yang hendak dibaca jika yang dia tahu hanya surah Yasin. Sekurang-kurangnya ada ayat al-Quran yang dia boleh baca dan janganlah kata amalan itu bidaah," katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan berkaitan perkara cabang dalam amalan agama jika dijadikan bahan untuk diperbahaskan hingga kiamat tidak akan selesai dan sebaiknya tenaga itu sepatutnya ditumpukan ke arah membanteras kemungkaran yang lebih jelas.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, berkata gerakan aliran tidak bermazhab sudah bertapak di negara ini hampir satu abad tetapi tidak nampak sumbangan mereka dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat.

Katanya, disebabkan tiada hasil karya ilmu berwibawa dan muktabar daripada golongan aliran tidak bermazhab menyebabkan ia tidak dapat diterima dalam arus perdana sama ada pada peringkat pemerintah atau masyarakat.

"Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas kuasa yang kuat dari sudut keilmuan atau tidak cukup wibawa ulamanya jika dibanding dengan ulama beraliran mazhab serta karya mereka.

"Malah, aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam masyarakat. Arab Saudi masih bermazhab Hambali, Turki dan Pakistan bermazhab Hanafi sementara Libya dan Tunisia bermazhab Maliki," katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pengaruh Fiqh Mazhab Syafie Dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia dan Cabaran Masa Kini' menjelaskan cabaran berlaku terhadap mazhab Syafie melalui tiga gelombang.

Gelombang pertama berlaku pada 20-an dan 30-an apabila golongan muda cuba mengemukakan idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di Arab Saudi, Mesir dan India kerana terpengaruh pemikiran gerakan Islam di sana.

Usaha itu kemudian disambung gelombang kedua yang berlaku antara 1940-an dan 1960-an yang banyak menumpukan persoalan khilafiyyah lebih khusus hingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam tetapi ulama akhirnya sepakat bersetuju dengan pendirian ulama aliran mazhab Syafie.

Gelombang ketiga berlaku dari 70-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie.

"Golongan ini tidak mengikat diri mereka dengan mana-mana mazhab muktabar yang diiktiraf dunia Islam dan mazhab Syafie di negara ini. Mereka anggap mereka layak berijtihad mutlak seperti imam muktabar kerana mereka adalah manusia dan tiada bezanya.

"Bagi orang yang mengkaji ilmu mengetahui ulama muktabar yang berijtihad lengkap dari segi ilmu asas syariah. Berijtihad tanpa ilmu yang lengkap dari sudut syariah, bahasa Arab dan kaedah usul fiqh boleh membawa kepada penyelewengan.

"Hal ini dapat dilihat bibitnya kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya memahami al-Quran dan sunnah hingga akhirnya membawa kecelaruan tafsiran sumber ajaran Islam," katanya.

Abdul Halim berkata, golongan berkenaan hakikatnya sudah melanggar adab berdakwah kerana tidak menghargai sumbangan ulama aliran mazhab Syafie, malah memperkecil serta memperlekehkan sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat.

Katanya, golongan itu juga menganggap ulama aliran mazhab Syafie membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu mereka tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta atau disebut bertaqlid buta.

Info :


1. Perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.
2. Amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan.
3. Jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.
4. Gelombang ketiga berlaku dari 1970-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie.

komentar (0) | Baca Selanjutnya...

Bookmark and Share