Ads 468x60px

Photobucket

Mac 02, 2009

Rehlah Dwi Minggu ABIM Johor

Sebagai antara langkah bagi memperkasakan kekuatan dan hubungan dalaman ABIM Johor, bermula bulan ini program rehlah dwi minggu dijalankan dengan mengambil pendekatan informal dan aktiviti keluarga. Aktiviti sebegini dilihat sangat baik terutamanya bagi mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim dan ukhuwwah di kalangan penggerak pelbagai peringkat (ABIM, Wadah, PKPIM, KPIJ). Dari sinilah kekuatan dalam menggerakkan tugas-tugas dakwah itu akan terbina dengan mantap. Malah hubungan sesama keluarga juga akan lebih rapat di samping mengamalkan budaya gaya hidup sihat.

Pada hari Ahad lalu, 1 Mac 2009 lebih dari 15 orang telah berkumpul bersama-sama melakukan aktiviti riadah dan senaman pagi di sekitar Tasik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Antara yang hadir sama ialah Dr Shahrum dan keluarga, Ustaz Ab Razak dan keluarga, Dr Roji, Syakir, Kang Zaid dan isteri, Sufri dan isteri, Sidek, Zoolhilmi, Syarifah Khuzaimah, Raja Nurul Ain, Hanif serta adik-adik PKPIMUTM.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah bebas. Ada yang dibuat secara berkumpulan dan juga berpasangan. Antaranya seperti berjoging mengelilingi tasik UTM, bermain badminton, senaman regangan, berbasikal, latihan silat, senaman fizikal berpasangan dan akhir sekali yang pasti ialah jamuan sarapan berjamaah dengan masing-masing membawa juadah sarapan sendiri yang pelbagai. Apa yang hendak dikongsikan di sini ialah keseronokan, kepuasan dan kegembiraan yang terpapar pada diri semua yang hadir menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti informal sebegini harus kerap diadakan kerana ianya akan membantu dalam membina semangat harmoni dan positif untuk terus membantu dalam usaha-usaha dakwah yang digerakkan oleh ABIM.

Program yang bermula jam 7.30 pagi ini berakhir sekitar jam 9.30 pagi dan dalam tempoh 2 minggu akan datang program ini akan dijalankan di tempat yang lain pula. Diharapkan pada masa-masa akan datang lebih ramai lagi rakan-rakan kita yang tidakberkesempatan agar dapat sama-sama mengikuti program dan aktiviti ini.