Ads 468x60px

Photobucket

Februari 27, 2009

Usrah Umum : Roh dan Manusia serta Rahsianya

Berkongsi ilmu berkenaan roh bersama Ustaz Khair Abdussalam telah membuka satu ruang dan dimensi kesedaran baru kepada warga dan penggerak ABIM Johor dalam mendepani cabaran dan mehnah dakwah hari ini. Ia merupakan sesi refreshment yang sungguh menyegarkan minda dan jiwa lagi-lagi di dalam kesibukan kerja-kerja dakwah yang tidak kunjung layu. Pada hari Jumaat 27 Februari 2009, bertempat di rumah wakaf ABIM Johor, Anjung Pulai Perdana (APP) telah berlangsung usrah umum bulanan ABIM Johor dengan kehadiran lebih 20 orang dari kalangan aktivis.

Perbincangan kali ini menjurus kepada bidang tasawwuf yang menyentuh tentang roh. Antara beberapa perkara yang menarik perhatian ialah berkenaan istilah Arwah yang sering digunakan sebagai kata ganti untuk orang-orang yang telah meninggal dunia. Istilah Arwah itu membawa maksud roh-roh dan sebaiknya (atau lebih tepat) harus digantikan dengan istilah Almarhum atau Almarhumah yang membawa maksud yang dirahmati atau disayangi. Alam roh atau arwah juga berbeza dengan alam dunia (manusia).

Selain itu, Ustaz Khair juga berkongsi kisah pada ketika Rasulullah S.A.W hendak dicabut nyawanya. Baginda telah didatangi oleh malaikat Jibrail dan malaikat Izrail. Dikisahkan keadaan Rasulullah yang berpeluh di dahi pada saat nyawa baginda hendak dicabut. Malah keadaan yang dialami oleh baginda itu sebenarnya adalah antara tanda-tanda baik orang yang meninggal dunia itu mati dalam husnul khatimah. Dalam kisah itu juga, malaikat Izrail telah datang secara beradab kepada Nabi Muhammad SAW kerana kedudukan baginda di sisi Allah SWT. Pertama sekali, Izrail memberitahu tujuan kedatangannya adalah untuk menziarahi baginda. Kemudian baginda telah ditanya oleh Izrail sama ada boleh atau tidak dicabut nyawa baginda waktu itu. Inilah antara keadaan istimewa yang tidak dimiliki oleh manusia-manusia lain yang diberikan layanan istimewa tersebut kepada Rasulullah SAW sahaja.

Secara kesimpulan ringkasnya, roh itu adalah asas kepada diri manusia yang mana pada asalnya adalah Islam iaitu dengan mengakui keesaan Allah SWT sebelum roh-roh itu ditiupkan ke dalam perut ibu-ibu yang mengandung. Maka secara fitrahnya, semua manusia itu adalah Islam. Hanya persekitaran dan didikan yang kemudian mencorakkan hala tuju setiap roh itu. Oleh yang demikian, roh kita harus dijaga sebaiknya dengan memberikan "makanan" dan "minuman" yang secukupnya. Jasad ini hanya kenderaan kepada roh. Justeru pentingnya pengisian kerohanian yang menuntut kepada fitrah asalnya iaitu Islam.