Ads 468x60px

Photobucket

November 09, 2008

Sukarnya Merialisasikan Sebuah Impian

Oleh : Abu Qisth

Bila bicara tentang angan-angan, boleh dikatakan ikon yang terbayang di benak minda kita semestinya saudara Mat Jenin. Saya telah mendengar pelbagai versi tentang kisah Mat Jenin ini. Ada kisah yang menceritakan bahawa angan-angan Mat Jenin berakhir dengan kemalangan di mana beliau telah terjatuh pokok kelapa gara-gara terlalu asyik berangan. Ada juga yang mengisahkan bahawa saudara Mat Jenin bukan sekadar berangan, tetapi rupanya beliau telah membina impian yang akhirnya direalisasikan menjadi kenyataan.

Walau apapun bentuk dan jalan cerita yang disampaikan, mesejnya cuma satu iaitu sukarnya merialisasikan sebuah impian. Sesuatu yang diimpikan jika tidak diusahakan akan kekal sebagai angan-angan yang tidak kesampaian.

Setiap orang mempunyai impian. Oxford Dictionary mendefinisikan impian (dream) sebagai a cherished ambition or ideal. Umumnya, semua orang bercita-cita untuk berjaya tetapi sesebuah kejayaan itu sangat subjektif bagi setiap orang yang ingin mencapainya. Bagi seorang mahasiswa yang tamat pengajiannya, mungkin kejayaan baginya ialah apabila dia memperoleh kerjaya idaman. Bagi seorang Ketua Pegawai Eksekutif, kejayaan pada perspektif beliau mungkin meningkatkan modal insan dan juga melipat gandakan keuntungan syarikat agar terus berdaya saing. Justeru sesuatu kejayaan boleh dikatakan amat luas tafsirannya bergantung kepada konteks individu atau organisasi yang ingin mencapainya.

Dalam konteks Malaysia, kejayaan juga mungkin boleh dilihat dari aspek pencapaian modal insannya yang cemerlang dalam segala bidang. Misalnya, kemunculan Nicol David sebagai pemain skuash nombor satu dunia, kemampuan Dr Sheikh Muzaffar menjadi angkasawan pertama negara serta yang terbaru penerimaan Anugerah Pencapaian Kepimpinan Kazue McLaren daripada Konsortium Akademik Asia Pasifik (APACPH) kepada Timbalan Naib Canselor (TNC) Universiti Malaya (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin untuk Kesihatan Awam.

Tidak hairanlah mengapa peruntukan terhadap pembangunan modal insan menjadi keutamaan negara. Jika melihat kejayaan dari perspektif Al Quran, Allah SWT telah menyenaraikan ciri-ciri modal insan yang cemerlang seperti berikut:

Orang yang melakukan solat
Orang yang bertebaran mencari rezeki dalam keredhaan Allah
Orang yang pandai mengambil setiap peluang yang bermanfaat
Orang yang banyak berzikir

(Rujuk Surah Al Jumuah : 9)

Abdullah Yusuf Ali dalam menafsirkan ayat di atas juga berpendapat bahawa kebaikan tahap kesihatan seseorang juga merupakan sebahagian dari kejayaan dalam kehidupannya. Justeru kejayaan tokoh-tokoh seperti yang telah saya nyatakan di atas boleh dikatakan sangat dekat dengan aspek kesihatan. Dr Sheikh Muzaffar tidak akan mampu menjadi angkasawan negara jika tahap stamina beliau rendah. Begitu juga Nicol David, adakah beliau boleh memegang gelaran juara dunia jika tahap kesihatan serta stamina beliau lemah? Berkenaan Dr. Mohd Amin, apakah beliau boleh dinobatkan anugerah yang berprestij seperti itu, jika beliau dan rakan profesionalnya yang lain tidak menyumbang sebaik mungkin untuk memajukan tahap kesihatan awam di Malaysia?


Jika diajukan soalan tentang sihat, semestinya tidak ada seorang pun yang mahu jatuh sakit. Semua orang mengimpikan kehidupan yang sihat, cergas dan ceria. Tetapi nyata ia tidak semudah seperti yang diharapkan. Kemodenan yang menuntut gaya hidup yang agresif menyebabkan kita alpa terhadap aspek kesihatan lantas mengundang pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung.

Penyakit jantung melibatkan golongan dalam usia produktif iaitu di antara 40 hingga 60 tahun dan menyebabkan kematian awal sebelum masa (premature deaths). Oleh itu ianya memberi impak yang signifikan kepada usaha pembangunan modal insan negara dari segi ekonomi dan sosial.

Kita semua mengetahui tentang hakikat ini, sesungguhnya suatu impian itu memanglah teramat sukar untuk direalisasikan. Sokongan dan dorongan persekitaranlah yang akan memainkan peranan dalam memastikan sama ada sesuatu impian itu berjaya atau sebaliknya. Begitu juga dengan agenda SIHAT, ianya akan lebih berjaya dan bermakna jika kita sama-sama menjadi penyokong dan pendorongnya.

Penulis adalah Exco Penerangan dan Perhubungan ABIM Negeri Johor