Ads 468x60px

Photobucket

September 25, 2008

Perutusan Eidulfitri 1429H : YDP ABIM JOHOR


Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Taala kerana telah memberikan kita kelapangan, kesihatan dan rezeki yang cukup untuk kita sama-sama beramal di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh dengan barakah ini dan insya-Allah akan meraikan bulan Syawal pada tahun ini dalam beberapa hari lagi. Sama-samalah kita bersyukur atas nikmat Ramadhan yang telah dikurniakan kepada kita pada tahun ini. Semoga Allah akan menganugerahkan kepada kita sekali lagi nikmat Ramadhan pada tahun mendatang. Sama-samalah kita berdoa dan berharap semoga Allah menerima amalan-amalan kita di dalam bulan yang barakah ini, mengampunkan dosa kita dan membebaskan kita daripada azab api neraka di akhirat kelak.

Hari Raya adalah hari kemenangan untuk setiap umat Islam yang telah bertungkus-lumus dengan penuh kesabaran sepanjang Ramadhan Al-Mubarak. Setelah sekian lama kita berpuasa dan mengawal nafsu makan dan minum serta membentuk diri dengan budaya yang murni dalam bulan Ramadhan, maka sewajarnyalah kita meraikan kejayaan kita dengan bertakbir dan bertahmid pada 1 Syawal di samping menziarahi sahabat handai dan saudara mara untuk mengeratkan silaturrahim antara kita. Budaya rumah terbuka yang diamalkan oleh masyarakat kita sememangnya suatu budaya yang sepatutnya digalakkan selama mana ianya tidak melibatkan pembaziran, maksiat dan apa sahaja yang berlawanan dengan fitrah manusia itu sendiri, baik dari aspek rohani mahupun jasmani.

Sempena dengan hari raya fitrah ini, sama-samalah kita mengingati kembali tujuan sebenar kita berada di atas muka bumi ini. Hakikatnya, fitrah kita adalah untuk menghambakan diri kepada Pencipta kita iaitu Allah SWT. Di sinilah akan wujudnya ketenangan dalam diri kita. Hikmah berpuasa dalam bulan Ramadhan sepatutnya menyedarkan kita tentang hakikat ini dan betapa ketakwaan yang menjadi matlamat utama amalan di bulan Ramadhan sepatutnya kekal berterusan dalam bulan-bulan yang seterusnya. Sama-samalah kita berusaha supaya amalan-amalan yang telah kita laksanakan sepanjang Ramadhan yang lepas seperti solat sunat, pengajian al-Quran dan juga berpuasa dapat kita lakukan juga pada bulan-bulan yang mendatang. Sememangnya amalan yang paling disukai oleh Allah s.w.t. adalah amalan yang sedikit, tetapi dapat dilaksanakan secara berterusan.

Pada kesempatan ini juga, marilah kita saling bermaaf-maafan, kunjung-mengunjungi bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan. Buang yang keruh ambil yang jernih dan lupakanlah sebarang persengketaan. Ingatlah bahawa ikatan persaudaraan yang dijalin berlandaskan panduan Islam akan melahirkan perpaduan yang kukuh dan akan melahirkan keluarga dan masyarakat bahagia, penyayang dan harmoni. Ukhuwwah fillah ini seterusnya akan mewujudkan umat yang kuat dan negara yang aman makmur, penuh dengan rahmat dan pengampunan serta lindungan Allah Subhanahu Wa Taíala. Dikesempatan ini juga, saya bagi pihak ABIM Negeri Johor memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap kami sepanjang kami diamanahkan menggalas tanggungjawab memimpin ummah dan melaksanakan aktiviti-aktiviti ABIM di Johor.

Wallahu a'lam. Selamat hari raya dan maaf zahir dan batin.

Dr. Hj. Shahrum Shah Bin Abdullah
Yang Di-Pertua ABIM Negeri Johor