Ads 468x60px

Photobucket

September 04, 2008

Bangun Modal Insan Mesti Diutamakan

Oleh: MUHAMMAD IZZUDDIN SYAKIR ISHAK* (Berita Harian, 4 September 2008)

BAJET 2009 bertemakan ‘Kerajaan Prihatin’ yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Jumaat lalu, merumuskan tiga strategi utama iaitu memastikan kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti dan memperkukuhkan daya tahan negara bagi menangani kesan persekitaran luar yang semakin rencam.


Daripada ketiga-tiga rumusan itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan bahawa fokus lebih tertumpu kepada strategi pengukuhan asas ekonomi iaitu menambah pendapatan boleh belanja rakyat sebagai usaha meringankan impak inflasi terhadap rakyat.

Impak inflasi dilihat sebagai cabaran terhadap kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara kerana kerajaan perlu menggalakkan pembabitan aktiviti ekonomi yang aktif dari golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang boleh dianggap golongan majoriti di Malaysia. Justeru memperkasakan ekonomi terhadap golongan ini amatlah penting dalam memastikan ekonomi negara sentiasa berada dalam keadaan stabil.

Selain itu, pembangunan modal insan juga semestinya menjadi agenda penting walau dalam apa juga situasi. Hal ini bertujuan untuk memastikan proses pengukuhan harta intelek negara terus berjalan demi memartabatkan agenda tamadun bangsa.

Justeru, budaya ilmu perlu diperkukuhkan secara berterusan, ilmu dihargai sebagai sifat dan nilai yang utama agar semua keputusan penting harus ditentukan berdasarkan wibawa ilmu dan hikmah, sementara kenyataan yang cuma berdasarkan sentimen serta kepentingan tertentu perlulah dielakkan.

Dalam konteks mengukuhkan daya saing serta ketahanan negara untuk mendepani fenomena global yang semakin rencam, suatu anjakan paradigma amat diperlukan. Perkembangan ilmu semasa dan terkini haruslah difahami dan dikuasai agar negara dapat terus bersama komuniti dunia di pentas antarabangsa.

* Penulis merupakan pemikir aktif dalam menyuarakan pandangan dan cadangan-cadangan membina. Beliau juga merupakan salah seorang exco ABIM Negeri Johor dan boleh dihubungi di blog beliau http://misyakir.blogspot.com