Ads 468x60px

Photobucket

Januari 18, 2013

Program Aqiqah Perdana & Perasmian Tadika Ar-Roudhah ABIM Segamat


Alhamdulillah, pada 24 Disember 2012 bersamaan 10 Safar 1434H, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Segamat telah berjaya mengadakan Program Aqiqah Perdana bagi pelajar-pelajar taski di seluruh daerah Segamat. Serentak dengan itu juga, turut diadakan perasmian Tadika Ar Roudhah (Taski) Kg. Paya Pulai yang terletak di bangunan Wisma Ar-Roudhah (WARAS). Taski ini yang satu masa dahulu pernah beroperasi terpaksa diberhentikan seketika akibat keuzuran bangunan tersebut, tetapi hasil usaha semua, taski ini dapat beroperasi semula pada tahun 2013.

Majlis yang bermula pada petang tersebut dengan gotong royong memasak dengan dibantu oleh WADAH, ABIM, KPIJ dan peserta Program LAKIM Siri 1. Seterusnya, ibu bapa dan anak-anak disajikan dengan halwa telinga oleh Tuan Hj Abas bin Abdul Rahman iaitu Mantan yang Dipertua ABIM Segamat semasa Kuliah Maghrib.





Upacara yang dinantikan iaitu malam kemuncak Perasmian Tadika Ar-Roudhah Kg. Paya Pulai bermula selepas solat isya’ yang dihadiri oleh tetamu kehormat dari seluruh Daerah Segamat dan ibu bapa taski sekitar Segamat. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh WADAH Segamat, Hj Latif dan diikuti ucapan oleh YDP ABIM Segamat, Sdr. Zaidy bin Dailami dan seterusnya perasmian taski oleh Tuan Hj Abas bin Abdul Rahman.


Selepas perasmian, para tetamu dijemput menikmati juadah yang disediakan sambil mendengar persembahan nasyid daripada anak-anak kecil taski ABIM Segamat. Sunguh terhibur mendengar telatah mereka menyanyikan lagu Ya Badratin, berdikir barat dan lain-lain lagi. Semoga anak-anak kecil ini menjadi insan soleh dan solehah, berjasa untuk agama, bangsa dan negara.
ABIM semenjak empat dekad penubuhannya menjadikan pendidikan, tarbiyyah kegiatan sebagai teras pergerakannya. Ini kerana, ia sedar cita-cita perubahan adalah impian andai tiada disusuli dengan pembudayaan nilai-nilai keunggulan umat. Ia terbukti dengan kewujudan Taski di seluruh Johor, Sekolah Sri Johor Bahru dan kini Sekolah Menengah Tahfiz Sains ABIM Johor. Sekalung tahniah buat ABIM Daerah Segamat atas perasmian taski tersebut. Moga dapat meneruskan momentum dakwah di masa hadapan. Insyaallah

Disediakan oleh: Norhafizah bt Ahmad (Setiausaha Kerja ABIM Johor)