Ads 468x60px

Photobucket

April 14, 2010

Seminar Global Peace Malaysian (Malaysia – Takbai, Selatan Thailand)

Pada 13 April 2010 bersamaan 28 Rabiulakhir 1431 Hijrah , ABIM Negeri Johor dengan kerjasama Global Peace Malaysian ABIM Pusat mengadakan satu seminar berkenaan tragedi hitam yang berlaku di Takbai Selatan Thailand. Seminar dihadiri oleh pimpinan ABIM Johor, staf-staf agensi , wakil Skuad Prihatin ABIM Johor dan KPIJ serta tidak ketinggalan sahabat kenalan ABIM Johor. Seminar yang disampaikan oleh Tuan Hj. Wan Abd. Rahman bin Wan Hussien selaku wakil Malaysia ke Takbai bermula tepat pada pukul 9.00 malam setelah selesai solat Isya’ bersama.

Beliau yang juga mengetuai misi Global Peace Malaysian ke Takbai ini merupakan WADAH ABIM Pusat yang mana sumbangan beliau masih diperlukan untuk menjaga kebajikan umat Islam di Selatan Thailand yang tertindas .Oleh hal yang demikian Angkatan Belia Islam Malaysia melalui Global Peace Malaysian terpanggil untuk mendengar rintihan suara umat Islam di Selatan Thailand yang selama ini dikesampingkan oleh pelbagai pihak dek kerana kepentingan peribadi. Beliau juga menambah bahawa majoriti rakyat Malaysia terlepas pandang dengan kesulitan dan kesusahan yang dialami oleh jiran seIslam iaitu di Selatan Thailand. Hakikatnya keadaan mereka di sana juga tidak tumpah seperti di Gaza dan negara-negara lain yang mengalami peperangan. Hal ini demikian kerana media –media arus perdana hanya menggazetkan negara-negara seperti Gaza, Iraq dan Palestin untuk dibantu, secara realitinya kebanyakkan bantuan yang diberikan dari negara Islam lain tidak sampai secara totalnya kepada mangsa yang memerlukan.Antara lain, beliau juga berkongsi pengalaman dan menceritakan saat getir yang dihadapi oleh umat Islam di Selatan Thailand yang mana nyawa mereka ibarat telur di hujung tanduk.

Kemudian seminar diteruskan oleh Ustaz Nawawi bin Yunus selaku Pengetua Badan kebajikan Anak yatim Tabal ( AYATA) . Kehadiran beliau pada malam tersebut adalah lebih terfokus untuk meminta bantuan daripada pelbagai sumber bagi membantu anak-anak yatim di bawah jagaan mereka. Sungguh tersentuh hati apabila beliau menyatakan bahawa mereka membelanjakan sebanyak RM 0.30 bagi setiap anak yatim sehari untuk perbelanjaan pembelajaran dan makan minum .

Seminar berakhir dalam sekitar pukul 11.00 malam. Terdapat juga jualan buku-buku ilmiah yang dikendalikan oleh Sdr. Mohamad Zaid / Kang Zaid. Selain itu, terdapat juga jualan buku-buku oleh Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal (AYATA) sebagai satu alternatif mencari dana untuk anak yatim di sana. Dengan mengangkat motto “ 1 Malaysia , 1 Aqidah , 1 Perjuangan , 1 Matlamat” Global Peace Malaysian dengan rendah diri menghulurkan bantuan semampunya kepada umat Islam di Selatan Thailand demi membela nasib saudara Islam di sana.”Mungkin inilah sedikit saham akhirat yang mampu kita laksanakan. Semoga usaha kita ini diredai Allah” tegas beliau.

Tahniah kepada Global Peace Malaysian .Salam perjuangan ukhwah fillah.