Ads 468x60px

Photobucket

Disember 19, 2009

Perutusan Maal Hijrah 1431H


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memberikan kita hidayah dan petunjuk dan nikmat Iman dan Islam yang kita kecapi selama ini.  Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga, para sahabat, tabi'in, tabi'it tabiin dan semua pejuang da'wah di sepanjang zaman.  Di awal tahun baru 1431 Hijrah ini sama-samalah kita meningkatkan keazaman kita untuk memperbaiki diri kita, keluarga kita dan apa sahaja yang berada di dalam tanggungjawab kita.  Sememangnya banyak yang perlu kita perbaiki tetapi kadang kala lebih baik kita fokuskan kepada beberapa perkara penting yang boleh diperbaiki daripada cuba untuk memperbaiki semua kelemahan tetapi akhirnya kita sendiri akan berasa lemah semangat dan mungkin satu perubahan yang baik pun tidak mampu kita lakukan.

Sesuai dengan semangat hijrah kepada yang lebih baik, marilah kita renung kembali sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sewaktu peristiwa hijrah ke Madinah.  Memang banyak yang kita boleh pelajari dalam peristiwa hijrah ini, tetapi cuba kita fokuskan kepada satu sahaja pengajaran yang mungkin relevan untuk kita yang berada dalam satu organisasi dakwah yang berjuang dengan matlamat yang sama.  Dalam peristiwa hijrah, antara yang sangat kita kagumi adalah bagaimana semangat kerja berpasukan yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasul s.a.w.  Sewaktu hijrah, beberapa ramai sahabat dan ahli keluarga yang telah membantu baginda untuk memastikan baginda selamat sampai di Madinah.  Daripada yang kecil seperti Asma' bt. Abu Bakar yang ditugaskan untuk menghantar makanan kepada Rasulullah s.a.w, sahabat yang remaja seperti Ali b. Abu Talib yang ditugaskan untuk menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w. dan juga yang dewasa seperti Sayyidina Abu Bakar As. Siddiq yang ditugaskan untuk menemani Rasulullah dalam perjalanan baginda, Kesemuanya berjaya memainkan peranan masing-masing sesuai dengan kemampuan mereka.  Malah diriwayatkan dalam sirah bahawasanya ada juga yang bukan Islam yang telah diberi kepercayaan untuk menjadi jurupandu arah seperti Abdullah b. Uraiquit yang membawa Rasulullah dan Sayyidina Abu bakar melalui jalan persisiran pantai yang jarang ditempuhi orang untuk pergi ke Madinah.

Dalam konteks gerak kerja ABIM Johor dan keseluruhannya, cubalah kita pertingkatkan semangat kerja berpasukan sesama kita bagi memantapkan lagi kesan dakwah kepada ummah.  Kerjasama dan bantuan daripada segenap sahabat sama ada ahli mahupun simpatisme, sama ada yang berada di lapangan mahupun di pangkalan haruslah distrategikkan agar tidak timbul isu ‘one man show’ dalam gerak kerja jemaah sehingga segalanya dibebankan kepada seseorang sahaja sehingga akhirnya wujud simptum kefuturan. Sahabat yang mempunyai kekuatan rezeki lebihan, idea yang bernas haruslah sentiasa peka untuk melihat segala kelompongan elemen ini untuk menyokong sahabat-sahabat di lapangan khususnya.  Kita semua tentu ada kelebihan dan kekurangan oleh itu bantulah apa yang termampu dalam ruang dan kapasiti yang ada untuk memacu dengan lebih baik lagi gerakerja dakwah ini.

Sekian, semoga tahun baru 1431 hijrah ini kita dapat memperbaiki diri kita masing-masing dan memperbaiki semangat kerja berpasukan dalam gerakan kita, Ameen Ya Rabbal 'alameen.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahil-Hamd"


Dr. Haji Shahrum Shah Abdullah
Yang Di-Pertua
ABIM Negeri Johor