Ads 468x60px

Photobucket

November 27, 2009

Perutusan Eiduladha 1430H

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah kerana telah memberikan kita peluang untuk bertemu dengan Hari Raya Eiduladha pada tahun ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi'in, tabi'it tabi'in dan semua pejuang da'wah di sepanjang zaman.

Hari Raya Eiduladha yang juga dikenali sebagai hari Raya Qurban merupakan antara hari kebesaran Islam yang utama dan sewajarnyalah kita menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan penuh rasa pengabdian kepada Allah s.w.t.  Di samping melaksanakan amalan-amalan sunnah pada hari raya ini seperti solat sunat hari raya, bertakbir hari raya dan melaksanakan ibadah qurban, sewajarnyalah juga kita menghayati semangat pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. sewaktu mereka diuji oleh Allah s.w.t. dalam peristiwa Qurban yang mana Nabi Ibrahim diwahyukan agar mengorbankan sesuatu yang paling disayanginya iaitu anaknya sendiri.

Kita juga boleh mengambil pelajaran daripada peristiwa ini bagaimana usaha untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini perlukan banyak pengorbanan, baik dari segi harta dan wang ringgit, masa, kesenangan malah ada kalanya jiwa dan raga. Mungkin kita patut bertanya kepada diri kita apa yang telah kita korbankan untuk agama yang tercinta ini? Pasti jawapannya tentu tidak setanding dengan apa yang telah dikorbankan oleh para nabi, rasul, ulama malah tokoh-tokoh pemimpin Islam sepanjang zaman.

Dalam konteks ABIM Negeri Johor, cuba kita lihat kembali pengorbanan yang telah dilakukan oleh Al-Marhum Ustaz Hj. Abdul Manan yang merupakan YDP ABIM Negeri Johor yang pertama. Sepanjang hayat beliau, begitu banyak masa, tenaga dan harta yang telah beliau infakkan untuk memastikan survival Islam dan gerakan umat terus diperkasa. Dari aspek kehidupan keperibadiannya, beliau hidup sangat sederhana dan hingga ke akhir hayat, beliau hanya tinggal di rumah sewa yang hanya dilengkapi keperluan asas sahaja. Sememangnya kita semua generasi muda yang mewarisi pekerjaan mulia ini perlu sebanyak mungkin cuba mencontohi contoh teladan apa-apa yang baik yang ada pada mereka generasi awwalin ini. Pada hari raya ini sama-samalah kita menghayati semangat qurban para nabi dan generasi awwalin bagi meningkatkan komitmen kita kepada amanah agung ini membawa misi rahmatanlil’alamin. Dalam kita menguruskan era transisi jemaah pada seluruh peringkat dan agensi pelbagai situasi dan isu berbangkit dan seharusnya diimplementasi semangat roh pengorbanan ini agar generasi muda yang meneruskan kesinambungan mata rantai perjuangan ini terus istiqomah dan sentiasa berjiwa besar.

Sahabat-sahabat yang jauh diperantauan turut ditagih bantuan idea bagi terus menyokong sahabat-sahabat di pangkalan. Sunnah perjuangan ada yang harus terjun ke medan perjuangan dan harus ada sebahagiannya berjuang di medan ilmu.

Semoga perjuangan suci ini sentiasa dalam redha-Nya. Bagi sahabat-sahabat yang telah mendahului kita semua, moga mendapat ganjaran-Nya yang hakiki dan juga memberikan semangat dan kekuatan untuk kita yang tinggal bagi meneruskan lagi misi dan visi da'wah di muka bumi-Nya ini.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahil-Hamd."

Dr. Haji Shahrum Shah Abdullah
Yang Di-Pertua 

ABIM Negeri Johor