Ads 468x60px

Photobucket

Januari 10, 2013

Ibu Bapa Perlu Jayakan Agenda Pendidikan

Kita telah memasuki minggu kedua tahun baru masihi 2013. Tahun baru membawa makna yang unik kepada setiap individu. Ada yang membawa kegembiraan, kedukaan mahupun tak membawa sebarang perubahan. Antara yang menggamit perhatian adalah langkahan pertama anak ke alam persekolahan. Setiap dari kita sudah tentu mempunyai pengalaman yang tersendiri memasuki alam persekolahan. Ia akan menjadi kenangan sepanjang hayat kita.

Kini perlaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah telah menjengah ke tahun ketiga perlaksanaannya. KSSR menjadi titik tolak perubahan kepada sistem pendidikan negara.

Banyak perubahan besar yang berlaku terutamanya sistem pentaksiran yang menilai pelajar secara lebih holistik. Holistik yang membawa maksud dari sudut penilaian ke atas individu pelajar yang meliputi sikap, jasmani, intelek dan kerohanian. Ia juga membawa maksud penilaian terhadap kesemua mata pelajaran tanpa terkecuali satu subjek pun.

Persoalannya sekarang adalah, sejauh mana ibubapa hari ini peka dengan perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan. Kebanyakan ibubapa masih terhimbau dengan situasi lama ketika mereka bersekolah dahulu. Usaha untuk memahami perubahan ini terutamanya dalam kalangan ibubapa Melayu amat mengecewakan.

Pengalaman bergelar guru selama 11 tahun menyedarkan saya betapa kurangnya perhatian kepekaan terhadap perubahan dalam sistem pendidikan. Sebagai contohnya siatem sijil terbuka di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Walaupun telah lebih sepuluh tahun ia dilaksanakan masih ada ibubapa yang tidak memahami fungsi mata pelajaran yang dikategorikan sebagai subjek teras, elektif dan sebagainya.

Keperluan subjek elektif dalam menentukan aliran pengajian yang seterusnya amat kurang difahami oleh ibubapa. Apa yang dikesalkan adalah kemahuan dan kesungguhan untuk mencari maklumat yang tepat oleh ibubapa akhirnya memangsakan anak sendiri.

Kini kesedaran untuk membuat ujian kecenderungan kerjaya telah mula timbul, bagi membantu para pelajar dan ibu bapa membuat keputusan dan pilihan, dalam menentukan kerjaya pada masa hadapan.

Itu pun saya kira ia begitu lambat kerana penentuan kerjaya menerusi ujian personaliti ini seharusnya dilakukan lebih awal lagi seawal sijil terbuka SPM diperkenalkan. Maka barulah tidak timbul perlumbaan penimbunan mata pelajaran dari 12 mata pelajaran hingga ke 21 mata pelajaran.


Sebagai ibu bapa di zaman mobiliti komunikasi ini kita seharusnya mampu mengakses maklumat mengenai pendidikan dengan mudah. Saya percaya golongan guru lebih dari bersedia untuk memberikan panduan dan maklumat dalam menerangkan perubahan yang berlaku.

Amat kurang kita lihat perbincangan yang dimulai oleh ibu bapa bagi memperolehi maklumat mengenai pendidikan anak-anak. Begitu juga di peringkat sekolah menengah yang turut melaksanakan kini Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang memerlukan sokongan ibu bapa bagi menjayakannya.

Kedua-dua peringkat kurikulum ini amat memerlukan anjakan minda bagi memastikan kejayaannya. Ia tidak boleh berlaku selagi persoalan ‘Bolehkah anak saya memperolehi gred A dalam mata pelajaran tertentu?’, masih bermain dalam pemikiran ibu bapa.

Atau wujud ibu bapa yang cuba untuk menyamakan penggredan ‘ben’ dengan ‘A’. Sokongan dari semua pihak diperlukan bagi memastikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dokumen dan segala eviden yang perlu perlu dipastikan lengkap agar proses dan kesinambungan penilaian dapat dilakukan tanpa gangguan. Gangguan terhadap penilaian seperti kehadiran ke sekolah, penyediaan peralatan oleh ibu bapa amat mempengaruhi prestasi anak-anak kelak.

Oleh itu adalah disarankan agar penjelasan yang berkesan dan mudah difahami oleh ibu bapa hendaklah dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran. Ia boleh dibuat menggunakan pelbagai media elektronik dan bercetak.

Begitu juga dengan pihak ibu bapa agar berusaha mencari maklumat selengkap mungkin bagi membantu proses pendidikan anak-anak. Kita tidak mahu nanti kejahilan membantutkan perubahan. Sedangkan perubahan amat diperlukan dalam membaiki sistem yang sedia ada.

Dan seperkara yang amat penting adalah jangan dipolitikkan penjelasan dan penerangan mengenai perubahan ini kerana ia nanti akan menenggelamkan niat suci dan murni pada peringkat awalnya. Satu pernyataan keprihatinan terhadap masyarakat kita yang terlalu obsess dengan politik kebelakangan ini.

AMIDI BIN ABDUL MANAN
Presiden ABIM