WARNA-WARNI
HIMPUNAN KEBANGKITAN
RAKYAT
STADIUM
MERDEKA
“Himpunan
Kebangkitan Rakyat / Kuala Lumpur 112 (KL112)” anjuran Pakatan Rakyat telah
berjaya diadakan pada 12 Januari 2013 yang lalu bertempat di Stadium Merdeka,
Kuala Lumpur. Turut serta barisan NGO seperti Warga Aman, OKU Bangkit, Empower,
Parti Sosialis Malaysia, Muafakat, Himpunan Hijau, Kartunis, Solidariti Anak
Muda Malaysia dan sebagainya. Perhimpunan bermula seawal jam 8.45 pagi dengan
perarakan peserta dari lapan lokasi berlainan meliputi Amcorp Mall (Petaling
Jaya), Masjid ar-Rahman (UM), Brickfields, KLCC, Kelab Sultan Sulaiman, Pasar
Seni, Jalan Sultan dan Masjid Negara. Para peserta pula mengenakan pakaian
mengikut warna tema tertentu seperti merah (kumpulan Royalti Petroleum), hijau
(kumpulan Anti-Lynas), kuning (kumpulan Bersih) dan sebagainya. Namun demikian
warna kuning mendominasi keseluruhan warna dalam perhimpunan tersebut sebagai
simbolik menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus menjelang Pilihanraya
Umum ke-13 nanti.
Aturcara majlis diserikan dengan persembahan Vokalis
kumpulan Blues Gang, Ito dengan lagunya 'Ubah
Sekarang' dan deklamasi puisi daripada Sasterawan Negara, Datuk A. Samad
Said bertajuk 'Di atas Padang Sejarah'.
Seterusnya pidato yang disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng;
Presiden PAS, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ketua
Pembangkang; Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Majlis disusuli bacaan deklarasi
perhimpunan yang dipimpin oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan diakhiri dengan doa penutup yang
dibaca oleh YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul ‘Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan dan nyanyian lagu
“Negaraku.” Perhimpunan tamat pada jam 4.50 petang.
Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi (2012) dalam bukunya Yusuf al-Qaradhawi & Kebangkitan Rakyat
menyatakan, “Demonstrasi atau perarakan ini boleh dihukumkan harus jika ia
memenuhi beberapa syarat tertentu seperti wujud elemen-elemen yang menjamin
tidak berlaku kerosakan harta awam dengan kehadiran polis yang mengawal keadaan
atau pihak penganjur sendiri yang mengawal keamanan perarakan dan mengambil
tanggungjawab atas keselamatan insan dan harta benda. Syarat-syarat ini telah
pun diamalkan oleh negara-negara maju ketika mereka melakukan demonstrasi.
Syara’ mengiktiraf keharusan demontrasi aman sekiranya dizahirkan untuk
mendesak atau menuntut sesuatu yang dibenarkan syara’. Islam meletakkan
tanggungjawab besar kepada rakyat keseluruhannya untuk memperbetulkan kesilapan
pemerintah dan menentang kezaliman agar segala bentuk penindasan dapat
dihentikan dan bertaut kembali kepada kebenaran dengan kuasa yang ada di
tangan, lidah dan hati mereka sekadar yang termampu.”
Sepanjang perhimpunan tersebut ternyata pihak Polis
Trafik, Polis Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan dengan kerjasama Unit
Amal PAS berjaya mengawal keadaan dan perhimpunan berjalan dengan lancar dan
aman. Apa yang menarik, kebanyakan peserta perhimpunan yang hadir datang secara
sukarela tanpa paksaan, sanggup bersusah-payah datang dari pelusuk negara,
menginfaqkan wang mereka untuk kepentingan parti dan menjaga disiplin seperti
solat berjama’ah di mana sahaja mereka berada, mengutip sampah-sarap sebelum
pulang dan menjaga ketenteraman awam. Sedikit-sebanyak fenomena ini telah
membuka minda pelbagai pihak yang seringkali melemparkan tohmahan negatif
terhadap Pakatan Rakyat dan menggugat kredibiliti Barisan Nasional sebagai
parti politik nombor satu di Malaysia. Barangkali inilah yang ingin ditonjolkan
oleh Pakatan Rakyat untuk memberi amaran awal kepada lawannya. Namun begitu
sehebat mana parti politik berkempen, keputusan tertakluk atas undian rakyat.
Justeru rakyat Malaysia alaf baru perlulah bijak menilai dan memilih parti politik
dan ahli politik yang benar-benar berkualiti. Semoga rakyat Malaysia mempunyai
kesedaran politik yang tinggi dan peka dengan perkembangan politik semasa.
Disediakan oleh : Hasliza binti Mohamad Ali (Exco Penyelidikan ABIM Johor)