Ads 468x60px

Photobucket

Januari 30, 2013

Anak Tak Sah Taraf : Punca & Penyelesaian


Data daripada Jabatan Pendaftaran Negara 
antara tahun 2006-2010, merekodkan sebanyak 234674 kelahiran bayi tanpa bapa dilahirkan di negara ini. Purata 2500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan sekitar 83.3% kes setiap hari atau 17 minit 17 saat setiap satu kelahiran. Isu ini amat memalukan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan perlu ditangani segera.

Definisi Anak Tak Sah Taraf
Pelbagai istilah digunakan untuk menggambarkan anak tak sah taraf ini. Antaranya seperti anak haram, anak luar nikah dan anak tidak sah taraf. Dalam kertas kerja berjudul “Anak Tak Sah Taraf Mengikut Hukum Syara’” yang dibentangkan oleh Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, anak tak sah taraf dalam Bahasa Arab disebut sebagai walad al-zina yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Berdasarkan perbincangan para fuqaha mengenai nasab seseorang anak pula secara umumnya dirumuskan bahawa anak zina adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor pula menyatakan istilah anak tak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan pada anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sama. Peruntukan undang-undang menyatakan bahawa :
tak sah taraf berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.

Manakala Fatwa Garis Panduan Anak Tak Sah Taraf Menurut Hukum Syara‘ di Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 28 April 2005, sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara‘ adalah seperti:
  1. Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik  yang bertentangan dengan hukum syarak
  2. Anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu imkad ad-dukhul dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah
  3. Anak yang dilahirkan daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu imkad ad-dukhul selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya) atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat hukum syara’.
Klasifikasi anak luar nikah di Selangor selari dengan hasil Persidangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 26 Mac 2004.

Masalah Anak Tak Sah Taraf
Menurut Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid seorang peguambela, anak luar nikah ini mempunyai masalah mengikut konteks isunya
  1. Jika bapa anak luar nikah ini tidak mendaftarkan kelahiran bayi tersebut, maka bayi itu tidak boleh bersekolah, tidak bebas untuk keluar masuk negara kerana perlu berurusan dengan Menteri Dalam Negeri.
  2. Tidak mempunyai pengenalan diri dianggap sebagai warga asing dan dinafikan mendapat hak kerakyatan seperti bersekolah, bekerja dan sebagainya.
  3. Bagi anak luar nikah perempuan pula isu timbul semasa hendak bernikah kerana tidak mempunyai wali dan paling malang pernikahannya dibatalkan terus.
  4. Masalah pewarisan harta kerana tidak ada hak ke atas harta kerana bukan daripada anak yang lahir daripada perkahwinan yang sah kecuali didaftarkan sebagai anak angkat..mereka layak mendapat hak 1/3 iaitu hibbah (hadiah ) mengikut lunas faraid.

Punca
Kejahilan dan kurang didikan agama menjadi punca mengapa seseorang itu sanggup melakukan zina. Selain itu, menonton video lucah, menghantar sms berbaur lucah, bersekedudukan tanpa ikatan yang sah dan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan juga menyumbang kepada perbuatan zina dan kelahiran anak tak sah taraf ini.
Penyelesaian
Langkah-langkah segera perlu diambil bagi menangani masalah ini. Antaranya memberi pendidikan di peringkat ibubapa, sekolah, masyarakat seperti masjid, surau, persatuan politik dan sukarela. Menurut Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tuan Haji Mamat Said, Dalam Islam tiada sepotong ayat al-Qur’an pun yang menjelaskan bahawa masyarakat perlu menghukum anak luar nikah ini, malah menjadi kewajipan ahli keluarga dan masyarakat untuk membela dan menghargai mereka ini. Kesilapan yang dilakukan wajar diinsafi, namun tanggungjawab membesarkan, mendidik, memberi kasih sayang, dan perhatian serta segala keperluan tetap sama dan perlu diberi perhatian kepada anak tersebut tidak kiralah apa pun statusnya.

Bapa sebagai pemimpin keluarga perlulah mengambil peranan memberi didikan agama yang secukupnya kepada ahli keluarganya. Jika tidak mampu, alternatif perlu dicari umpamanya membawa ahli keluarga mengikuti kelas-kelas agama di masjid, surau berhampiran atau menonton siaran agama di televisyen, youtube. Melanggani majalah agama seperti majalah Solusi, Majalah I, Q & A dan sebagainya. Lazimnya kes-kes anak tak sah taraf ini dikenalpasti berpunca akibat kepincangan institusi rumahtangga. Oleh itu, pendidikan agama, keibubapaan dan kaunseling perlu ditekankan dalam usaha membina rumahtangga yang harmoni dan bahagia.

Sekolah tempat anak-anak belajar pula boleh menerapkan nilai-nilai yang baik. Dengan adanya Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan ditambah dengan subjek Pendidikan Islam dan Moral dan program-program kerohanian di sekolah diharap mampu mendidik anak-anak menjadi manusia yang tahu batas-batas pergaulan. Menurut Prof Madya Dr Mastura Badzis, Penolong Profesor Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, “Pendidikan seks ini telah pun berlaku secara langsung di peringkat pra sekolah seperti memperkenalkan anggota badan kepada anak-anak, mengajar mereka yang boleh membersihkan alat sulit mereka apabila ke tandas ialah ibu bapa atau guru, memperkenalkan perbezaan antara lelaki dan perempuan. Beliau turut mengaitkan antara pandangan Islam denan teori Barat dalam isu pendidikan ini. Dalam Islam, Imam Ghazali berkata umur terbaik mendidik anak-anak ialah antara umur mumaiyiz dan baligh dan pada masa ini ibu bapa wajib mengajar anak-anak tentang istinjak. Dari sudut perkembangan kognitif pula, teori Jean Piaget menjelaskan pada umur tujuh tahun kanak-kanak sudah boleh membezakan yang abstrak dan konkrit”.            

Masyarakat pula boleh memainkan peranan dengan tidak melabelkan anak tak taraf ini kerana anak-anak ini tidak bersalah dan mereka adalah mangsa keadaan. Menurut Prof Dr Suradi Salim, pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, “ Masyarakat yang menghukum anak yang tidak berdosa ini merupakan mereka yang memiliki akal cetek dan tidak berperikemanusiaan, dalam diri mereka akan timbul perasaan rendah diri, terasa seperti seorang yang hina, tidak setaraf dengan orang lain, tidak berani bergaul bebas, janggal, dan berbagai-bagai lagi yang akhirnya membawa kepada kesan negatif kepada diri mereka“. Oleh itu, kita hendaklah  memberi sokongan kepada anak tidak berdosa ini, tidak meminggirkan mereka, jangan mengaibkan dan merendahkan mereka. Contohnya di negara maju masyarakat di sana mula menerima golongan ini dan rumah-rumah kebajikan semakin berkurangan, anak-anak tersebut dijadikan anak angkat

Keterlibatan remaja dalam perhubungan bebas, pengguguran dan kelahiran anak tak sah taraf ini menarik perhatian pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Faizah Abd Ghani. Bagi menangani masalah tersebut, beliau juga turut menyumbang dengan membangunkan sebuah modul yang dinamakan ‘Model Sayangku’. Modul ini  dibangunkan berlandaskan perspektif Islam dengan menekankan konsep sayang Allah, sayang Rasulullah, sayang diri dan sayang umat. Selain itu usaha yang dilakukan oleh Jabatan KebajikanMasyarakat, OrphanCare (projek Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan  Komuniti), badan bukan kerajaan seperti PKPIM (Projek RES-Q), ABIM (Rumah Perlindungan Wanita-Bayt Rahmah dan Darul Wardah), IKRAM (Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah), KEWAJA dan lain-lain diharap dapat membela nasib anak tak sah taraf ini.  

Disediakan oleh : Hasliza binti Mohamad Ali 
(Exco Penyelidikan ABIM Johor)