Generasi Muda Muslim : Juru Ubah Ummah
Kita telah menjejaki ke angka 54 dalam meraikan kemerdekaan negara dari cengkaman penjajah. Pada tahun ini tema yang dipilih adalah “Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera”. Adakah generasi muda pada hari ini bersedia untuk ditransformasikan menjadi generasi yang berwibawa dan dihormati oleh dunia? Apakah intipati transformasi bagi generasi muda? Sudah tentulah idealisme. Tanpa idealisme yang dijunjung dan menjadi landasan perjuangan generasi muda, kita telah pun mati sebelum masanya. Kata bijak pandai ‘orang tua kaya pengalaman, orang muda kaya impian’.
Justeru itu, idealisme akan memastikan citra kepemudaan terus unggul. Idealisme membuatkan generasi muda tahan tempur, bertembung dengan segala cabaran zaman dan ancaman lingkungan dengan penuh keazaman dan keyakinan. Inilah yang dikenali sebagai reformasi diri. Reformasi bermaksud satu perubahan yang menyeluruh ke arah kebaikan yang meliputi sistem keyakinan, pemikiran dan cara bertindak agar transformasi yang berlaku adalah satu perubahan bentuk dan penampilan yang unggul dan tulen. Inilah yang disebut dalam al-Quran sebagi ‘Taghyir Al-Nufus’, yakni reformasi diri. Ia menjadi prasyarat kepada perubahan nasib sesuatu kaum sebagaimana yang diisyaratkan dalam ayat kesebelas surah al-Ra’ad :
“ Tidak berubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri…”
Inilah yang berlaku ke atas diri para sahabat. Kisah Umar al-Khatab misalnya ketika beliau belum memeluk Islam. Umar bin Al-Khattab adalah satu individu yang begitu kuat memperjuangkan nilai-nilai konvensional masyarakat jahiliyah. Beliau amat kuat memerangi dakwah Rasulullah s.a.w, lantaran melihat risalah yang dibawa oleh Baginda merupakan gugatan dan ancaman terhadap ‘status quo’ masyarakat jahiliyah ketika itu. Siapa yang tidak mengetahui kisah Saidina Umar, beliau tidak teragak-agak menimbus anak perempuannya hidup-hidup kerana mempercayai bahawa anak perempuan akan membawa keaiban dalam kehidupannya kelak. Begitu juga dengan kebengisan yang ditunjukkannya dalam penentangan terhadap risalah Rasulullah.
Tapi segala kebengisan, kekejaman dan keangkuhan Umar Al-Khatab, akhirnya lebur apabila membaca lembaran wahyu Ilahi. Langkah yang bermula dengan niat mahu membunuh Rasulullah bertukar menjadi langkah untuk mengungkap penyaksian terhadap kebenaran Risalah. Bermula dari hari itu, perubahan yang berlaku pada diri Umar amat ketara. Kegagahan dan kecerdasannya banyak membantu perjuangan Baginda. Kehebatan pentadbiran dan kecekapan pengurusannya mengkagumkan banyak pihak.
Begitulah kesan risalah yang dibawa Rasulullah. Penerimaan Umar terhadap kebenaran Islam bukan sahaja merubah diri beliau tetapi juga menghadirkan keberanian para sahabat untuk berdakwah secara terang-terangan. Risalah yang mengakar dalam urat nadi Umar telah menukar pandangan hidup beliau untuk mengabdi kepada Allah dan berbakti kepada ummah.
Kita juga tidak lupa dengan kisah Bilal bin Rabbah. Ungkapan lemah “Ahad, Ahad, Ahad”, di bawah terik pancaran matahari di tengah padang pasir adalah ungkapan yang lahir dari jiwa yang telah disinari hidayah. Beliau dipandang hina kerana warna kulitnya yang hitam legam dan statusnya sebagai hamba abdi. Beliau dilihat tidak mempunyai sebarang keistimewaan dan kepandaian, sehingga dia menerima segala sosok kejian dan cemuhan.
Pancaran hidayah telah mengangkat martabat Bilal dari kehinaan hamba manusia kepada kemuliaan hamba Allah. Dari pelosok kekejian kepada kemuliaan insan. Demikianlah kesan risalah kepada Bilal ibn Rabbah. Rasulullah s.a.w telah melakukan kejuruteraan masyarakat, dengan membina peribadi-peribadi unggul Baginda membina Daulah Islamiyah. Pembinaan masyarakat mesti didokongi oleh keunggulan peribadi ahli masyarakat tersebut. Ini merupakan pra syarat yang utama yang perlu dipenuhi jika mahu melihat perubahan secara total.
Kebijaksanaan Rasulullah semakin terserlah ketika memimpin masyarakat di Madinah. Baginda memilih pembinaan masjid sebagai satu tanda dan mesej bahawa hubungan kemasyarakatan dan negara akan sia-sia tanpa ikatan yang teguh dengan Allah. Masjid dijadikan sebagai pusat pentadbiran, masjid dijadikan tempat beribadah kepada Allah.
Rasulullah menekankan perubahan mestilah bermula dari diri. Perubahan yang bertaklidkan orang lain adalah perubahan yang rapuh dan mudah runtuh. Perubahan mestilah dimulakan dengan merubah cara befikir. Cara berfikir hanya akan berubah jika tanggapan terhadap kehidupan diubah. Menerima kefanaan kehidupan duniawi merupakan intipati ajaran Rasulullah. Maka tidak hairan jika kerajaan Rasulullah adalah kerajaan yang ‘low cost’. Para sahabat tidak terikat dengan kemewahan hidup, apatah lagi melihat cara hidup Rasulullah yang serba sederhana.
Rasulullah mengubah nilai kehidupan. Dari nilai yang bersifat sementara kepada nilai yang bersifat abadi. Nilai inilah yang membuatkan para sahabat menjadi generasi al-Quran yang unik. Mereka tidak terhegeh-hegeh mencari habuan dan kemuliaan dunia tetapi mengejar dengan bersungguh-sungguh keredhaan Allah s.w.t.
Justeru itu tidak hairan kenapa bantuan Allah menerpa tiba memberkati perjuangan Baginda kerana syarat yang terkandung dalam Surah al-Ra’d, bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka telah pun dipenuhi.
Maka berlakulah perubahan seperti yang dijanjikan Allah. Dari jejak sejarah perjuangan Baginda, dapat kita pelajari bahawa tranformasi masyarakat mestilah didahului dengan reformasi diri. Konsep taghyir al-nufus seperti yang disarankan al-Quran amat relevan dalam kita meraikan 2 kemerdekaan iaitu kemerdekaan dari taklukan penjajah dan dari taklukan hawa nafsu.
Taghyir al-nufus meliputi perubahan nilai kepercayaan, cara berfikir dan kaedah berkerja. Ia adalah perubahan total yang menjadi teras sebarang usaha pembaikan. Jika gagal dilaksanakan; usaha pembaikan hanya sekadar usaha yang kosmetik dan tidak akan mampu berhadapan dengan cabaran zaman dan halangan lingkungan.
Dari sirah perjuangan Rasulullah s.a.w, dapat kita tekuni bahawa perubahan memerlukan contoh teladan yang praktikal. Rasulullah yang menjadi sumber inspirasi perjuangan para sahabat, telah memberikan satu lagi kekuatan iaitu kekuatan qudwah hasanah. Qudwah hasanah yang dipamerkan Baginda memberikan kesan berganda terhadap nilai perjuangan. Pantang Baginda untuk tidak mengotakan apa yang disabda, pantang Baginda tidak mendahului segala perintah yang telah terpateri.
Inilah perubahan yang perlu dilakukan oleh generasi muda. Ia adalah formula yang mesti kita jejaki dalam agenda perubahan ummah. ‘Taghyir al-nufus’ (reformasi diri) dan kekuatan qudwah hasanah (suri teladan yang unggul dan praktikal) adalah dua elemen terpenting jika kita bercita-cita menjadi juru ubah ummah.
Nukilan rasa:
Amidi Abd Manan
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)