Ads 468x60px

Photobucket

September 12, 2011

ABIM Tetap Seperti Dulu: Presiden ABIM

Di sekitar 1990-an sehingga 2000, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dilihat sebagai kumpulan pendesak yang lantang bersuara mengenai isu berkaitan Islam. Kelantangan suaranya itu menyebabkan ABIM tidak terlepas daripada dipandang serong dan dilabelkan oleh sesetengah pihak sebagai badan dakwah membawa aliran antikerajaan. Bagi masyarakat umum, ABIM dilihat sebagai suara besar belia Islam dalam memberi tekanan kepada kerajaan agar dipastikan apa juga dasar yang hendak dilaksanakan disandarkan kepada ajaran Islam.

ABIM dianggap jurucakap umat Islam dalam pelbagai dimensi berkaitan Islam dan Melayu bagi memastikan umat seluruhnya terpelihara iman, nyawa, harta, maruah, kebebasan, hak dan keselamatan mereka. Namun, sejak kebelakangan ini, nama ABIM seolah-olah tenggelam, pudar dan tidak lagi menjadi sebutan masyarakat khasnya di kalangan orang muda, mahasiswa dan belia.

Peranan ABIM sebelum ini sebagai suara pendesak dan pengkritik semakin tenggelam sehingga ada yang berpendapat ABIM hanya relevan menjadi pertubuhan kebajikan. Mengulas dakwaan itu, Presidennya, Amidi Abd Manan, menafikan ABIM sudah hilang taring untuk bersuara atau berani menyatakan pendiriannya dalam berkaitan kepentingan Islam.
ABIM tidak pernah tersasar daripada matlamat memperjuang prinsip menjadikan Islam sebagai cara hidup, berdakwah dan menegur mana-mana pihak yang menyentuh kepentingan Islam. "Kita masih lagi menjadi kumpulan pendesak dan tidak pernah meninggalkan peranan itu, tetapi ia bergantung kepada masa dan ketika diperlukan."
"Apa yang penting ialah, ABIM mengutamakan soal kebenaran dalam sesuatu isu atau perkara dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang tidak membantu membela Islam dan umatnya," katanya. Malah tegasnya, ABIM bukan bersuara untuk mencari populariti, tetapi pada masa sama isu sebenar yang timbul akhirnya berakhir begitu saja tanpa sebarang penyelesaian.

Amidi turut menegaskan pertubuhan itu tidak mengeluarkan pandangan yang agak radikal kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan masyarakat terhadap Islam dan umatnya. Pada masa sama, beliau berpendapat adalah lebih baik ABIM diam dalam isu tertentu jika ada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan peribadi seperti isu penggunaan kalimah Allah dan gerakan memurtadkan umat Islam.

Dalam menangani isu politik, ABIM mungkin semakin kurang popular kerana mengamalkan sikap tidak memihak; bebas dan tidak tunduk kepada kepentingan mana-mana parti politik. Pendirian itu menyebabkan ABIM tetap dihormati dan umat Islam menaruh harapan kepada ABIM untuk menjadi suara pendesak yang bebas dan mempunyai integriti.

Sementara itu katanya, peranan ABIM sebagai suara pendesak mengalami sedikit halangan selepas pertubuhan itu kini terikat dengan Akta Pertubuhan Belia 2007. Sebagai sebuah pertubuhan belia katanya, ABIM perlu menyesuaikan semula setiap gerak kerja yang dirancang supaya bersesuaian dengan akta berkenaan. ABIM akan lebih menumpukan usaha mempergiatkan gerakan dakwah, mendekati masyarakat terutama generasi muda menjadikan Islam sebagai cara hidup mengikut kesesuaian semasa khasnya dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Bersesuaian dengan cabaran pada masa sekarang, kita nampak generasi muda memerlukan satu wadah baru untuk mengatur pandangan mereka dan pada masa sama kita mahu pandangan remaja yang mempunyai iltizam terhadap agama.

"Kita akan berusaha untuk memenuhi keperluan generasi muda hari ini yang mahu mendapat maklum balas, jawapan dan pendirian dengan cepat, telus lagi tepat dalam isu berkaitan Islam," katanya.

Justeru, gerakan dakwah ABIM kini tidak lagi tertumpu pendekatan Amal Jama'i (amal yang dilakukan secara bersama dan tersusun dalam sebuah gerakan dakwah), tetapi mengalami proses transformasi yang menjadikan dakwah lebih segar, baru dan sesuai dengan watak anak muda hari ini.