Pada 8 Mei 2010 bersamaan 23 Jamadilawal 1431 Hijrah, ABIM Negeri Johor telah mengadakan Seminar Islam Dan Masyarakat Majmuk bertempat di Dewan As Syafie Masjid Jame’ Bandar Segamat . Seminar ini adalah rentetan daripada program yang diadakan bersempena Muktamar Thanawi Strategik (MTS) ABIM Johor yang julung kalinya diadakan.
Keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama menjadikan Malaysia sebagai negara yang istimewa di mata dunia. Terdapat tiga masyarakat tunggak di negara ini yang didahului dengan bangsa Melayu, dituruti bangsa Cina, India dan selebihnya kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Lantaran itu, Islam dan masyarakat majmuk seringkali dibicarakan di seminar-seminar, media-media dan sebagainya.
Seminar tersebut telah menampilkan beberapa orang pimpinan keluarga besar PKPIM-ABIM dan WADAH peringkat kebangsaan dan negeri. Seminar yang bermula pada jam 8 pagi didahului dengan ucapatama daripada Prof. Madya Dr. Shaharuddin Bin Badaruddin, Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia. Beliau telah mengupas dengan panjang lebar tentang ‘Peranan Islam dalam Melakar Masa Depan Masyarakat Majmuk di Malaysia’. Antara intipati penting yang beliau sentuh adalah mengenai cabaran persepsi sesama kaum di Malaysia yang selalunya menjadi punca kepada ketidakstabilan keharmonian negara.
Lewat era 70-an merupakan era penting kebangkitan Islam. Revolusi Iran memberi sinar baru kepada kebangkitan gerakan Islam yang merebak ke seluruh dunia Islam dan Malaysia tidak terkecuali. Lantaran itu, Forum pertama di dalam seminar itu telah mengupas tentang ‘Gerakan Islam dan Cabaran-cabaran Masyarakat Berbilang Kaum di Malaysia: Sorotan Sejarah dan Pengalaman’. Antara ahli panel yang hadir ialah, Saudara Mohd Hilmi bin Ramli, Exco Penerangan ABIM Pusat, Tuan Haji Azmi Shah Bin Suratman (Pengerusi WADAH Johor) dan Tuan Haji Zaini Mohsen (WADAH Segamat) Moderator bagi forum itu ialah Tuan Haji Kassim Bin Thukiman (Setiausaha WADAH Johor). Forum yang menampilkan senior-senior dalam gerakan ini merupakan suatu pengalaman yang sangat menarik untuk dikongsi bersama-sama generasi penerus. Kehadiran mereka memberi tiupan semangat untuk ABIM Johor menempuh gelombang kedua yang diuar-uarkan.
Tidak sah sekiranya jika ABIM tidak berbicara tentang peranan belia dalam konteks masyarakat majmuk. Justeru amatlah cocok dengan tajuk forum kedua yang mengupas tentang ‘Belia dan Hubungan antara Kaum dalam Konteks Satu Malaysia: Analsis Kritis. Kupasan kali ini menampilkan Saudara Muhammad Faisal bin Abdul Aziz (Presiden PKPIM Pusat), Ustaz Hj. Fauzi bin Othman (AJK WADAH Negeri Johor), Puan Fauzana bt Abdul Rahman (Ketua HELWA ABIM Johor) dan dipengerusikan oleh Saudara Mohd Sidek bin Roslan (Penolong Setiausaha ABIM Johor). Golongan belia yang mencakupi lebih 40% jumlah penduduk di Malaysia merupakan nadi penting kepada keharmonian negara di masa mendatang. Oleh itu, peranan belia perlu dioptimumkan supaya keistimewaan golongan ini tidak disia-siakan. Kepelbagaian latarbelakang budaya dan bangsa generasi belia harus diusahakan kepada mencari titik persamaan agar persepsi negatif yang melatari setiap kaum dapat diubah seterusnya memandu kepada keharmonian dalam kehidupan berbilang kaum.
Oleh kerana ‘Islamphobia’ semakin menjadi-jadi dasawarsa ini, seminar Islam dan masyarakat majmuk adalah salah-satu usaha untuk memurnikan kembali persepsi negatif yang telah meracuni pemikiran kaum bukan Islam. Tambahan lagi, isu-isu berkaitan kaum dan agama seperti isu penggunaan kalimah Allah oleh The Herald, penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC), kes murtad, dan pelbagai lagi telah mencemari keharmonian negara lantaran ketidakfahaman tentang sensitiviti kaum dan agama masing-masing. Penganjuran seminar sebegini adalah penting agar Islam yang definisinya berakar umbi daripada kalimah sa-li-ma yang beerti selamat, tenang dan aman tidak disalah ertikan dan tidak dicemari dengan anasir-anasir pihak Barat yang tidak jemu melabel Islam dengan perkara-perkara negatif seperti terrorism, mundur dan sebagainya. Seminar yang dihadiri lebih 164 orang berakhir pada jam 12:30 tengahari.