Ads 468x60px

Photobucket

Januari 08, 2009

Mengutuk Kekejaman Rejim Zionis Ke Atas Gaza

Kenyataan Media Gabungan NGO Muslim Negeri Johor
"Mengutuk Kekejaman Rejim Zionis Ke Atas Gaza"

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim Negeri Johor, sebagai sebuah badan induk yang memayungi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) umat Islam di Negeri Johor Darul Ta’azim, mengutuk sekeras-keras tindakan biadap regim Zionis menyerang dan membunuh rakyat Palestin di Gaza yang kini telah masuk ke hari yang keduabelas dan menyebabkan gugurnya lebih 660 jiwa dan beribu-ribu lagi cedera.

Tindakan ini merupakan satu lagi rentetan daripada siri usaha regim Zionis sejak 1948 untuk melakukan pembersihan etnik di bumi Palestin dan menafikan hak-hak rakyat asal Palestin di tanahair mereka sendiri. Dalam kes yang terakhir ini, rakyat Gaza yang telah menderita sejak 18 bulan yang lalu akibat penutupan sempadan seluruhnya oleh regim Zionis menjadikannya penjara yang terbesar di dunia, tanpa bekalan makanan, perubatan, dan keperluan asas kemanusiaan yang mencukupi.

Kekejaman dan tidak berperikemanusiaannya regim Zionis ini terserlah apabila mereka sewenang-wenangnya memusnahkan infrastruktur awam seperti sekolah, hospital, bekalan eletrik, masjid, pasar awam, pejabat dan lain-lain yang merupakan keperluan asas kepada sesebuah masyarakat awam. Kejadian kelmarin di mana sebuah sekolah yang dikelolakan oleh Bangsa-bangsa Bersatu, dan digunakan juga sebagai tempat perlindungan pelarian, telah dibom oleh tentera Zionis menyebabkan kematian 40 orang awam yang tidak berdosa jelas membayangkan sifat tidak berperikemanusiaan mereka.

Regim Zionis juga bukan sahaja melakukan perang ke atas Palestin secara fizikal dengan pesawat-pesawat di udara, kapal-kapal perang di laut dan kereta-kereta kebal di darat, tetapi begitu licik mengatur perang saraf dan media dengan menyebarkan pembohongan demi pembohongan terhadap fakta-fakta sejarah dan kejadian-kejadian yang berlaku di Palestin amnya dan Gaza khususnya, sehingga cuba menampakkan kepada dunia bahawa pihak mangsa iaitu rakyat Palestin sebagai pengganas dan pemangsa, sebaliknya dan pihak Zionis yang merupakan pengganas yang sebenarnya sebagai mangsa.

Justeru, Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim Negeri Johor:

1. Menuntut agar semua pihak, terutamanya negara-negara Islam, memberikan tekanan yang kuat bagi memastikan agar tentera pendudukan Zionis keluar segera daripada bumi Gaza dan memberhentikan keganasan (terrorisme) ke atas rakyat Palestin.

2. Menyeru semua umat Islam dan pihak-pihak yang cintakan keamanan dan keadilan, bersatu secara padu di atas isu ini, dan seterusnya menyelaras dan mensejajarkan tindakan secara tersusun dan bersama dengan mengenepikan sebarang perbedaan fahaman dan latarbelakang, agar memberikan suatu kesan yang padu, efektif dan bermakna daripada rakyat Malaysia.

3. Menginsafi bahawa perang yang tak-simetri ini dikaburi oleh banyak propaganda Zionis, meminta umat Islam dan rakyat Malaysia agar mendapatkan maklumat dan berita yang lebih tepat daripada sumber-sumber yang sahih, dan memahami latarbelakang umum sebenarnya pergolakan di Timur Tengah.

Sehubungan dengan itu, pihak Gabungan sendiri merancang dan menjalankan siri taklimat dan kempen kesedaran ke seluruh negeri Johor Darul Ta’azim bagi memberikan maklumat dan latarbelakang yang tepat terhadap krisis yang berlaku di Gaza kini. Sehubungan dengan itu, kami menyeru kepada semua pihak agar dapat memberikan laluan atau kerjasama bagi menjayakan kempen ini di tempat masing-masing, dan kami sendiri bersedia memberikan kerjasama dengan mana-mana pihak di atas objektif yang sama.

4. Mengingatkan kepada semua umat Islam bahawa perjuangan di Palestin secara seluruhnya berkait rapat dengan isu akidah Islam, dengan terdapatnya Masjid al-Aqsa yang merupakan masjid suci ketiga umat Islam, dan bumi Isra’ dan Mi’raj yang diberkati ALlah s.w.t., dan bukan sahaja isu lokal rakyat Palestin semata-mata.

Oleh itu, umat Islam diseru agar berterusan mengadakan solat hajat dan munajat di seluruh negara memohon pertolongan ALlah kepada umat Islam dan mereka yang membantu agama-Nya.

Juga, kita meminta pihak berwajib agar dapat menyediakan khutbah-khutbah Jumaat di seluruh negara yang menyentuh secara khusus isu ini, dan pihak Gabungan bersedia untuk membantu sekiranya perlu.

5. Menyeru semua umat Islam dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan agar memberikan sumbangan sedaya upaya mereka baik berupa material maupun moral dan doa bagi meringankan kesengsaraan umat di Gaza khususnya dan di Palestin amnya.

6. Menggesa supaya seluruh lapisan masyarakat yang cintakan keamanan dan keadilan bersungguh-sungguh memboikot secara efektif dan besar-besaran produk-produk yang mempunyai pertalian dengan regim Zionis dan sekutunya, termasuk makanan, pakaian, hiburan, filem, rokok dan lain-lain.

Ini menjadi getir memandangkan bahawa setiap peluru yang membunuh umat Palestin sebenarnya dibiayai oleh pihak-pihak yang menyokong regim Zionis ini.

Semoga Allah membantu kita, dan mempersatukan hati-hati kita.

Syed Ahmad bin Syed Abdullah
Presiden
Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Muslim Negeri Johor