Bertempat di Rumah Wakaf ABIM Johor "Anjung Pulai Perdana" dan di Surau Taman Pulai Perdana pada 19 hingga 20 September 2008 yang lepas, program ini telah berjalan dengan berkat (InsyaAllah) dan lancarnya. Pelbagai pengisian atau aktiviti yang telah diatur dimulai dengan solat Isya' dan Tarawikh berjamaah di surau yang kemudiannya diikuti dengan sesi tazkirah ramadhan oleh YBhg. Ustaz Azmi Shah Suratman, mantan YDP ABIM Johor yang ke-4 pada jam 9.30 malam.
Program yang berjalan secara santai dan informal ini cukup menyenangkan dan menyebabkan mereka yang hadir cukup segar dengan segala macam pengisiannya dan seronok mengikutinya. Keesokannya "pesta ibadah" pun bermula seawal jam 4.00 pagi dengan masing-masing yang hadir (terdapat sebahagian yang tidur di rumah wakaf dan di surau) serta yang hadir kembali untuk sama-sama melakukan qiamullail secara individu. Setelah masing-masing puas dengan ibadah qiamullail, tibalah pula masa untuk mempereratkan silaturrahim dan ikram sahabat dengan aktiviti sahur jama'eiy.
Seusai solat Subuh dan bacaan Al-Ma'thurat berjamaah, budaya ilmu yang memangnya tidak pernah lari dengan identiti ahli ABIM diterapkan melalui pengisian kuliah subuh oleh Ustaz Haji Ab Razak Aripin. Setelah bakti kepada diri dan ahli gerakan dituntaskan sepanjang program, kini bakti dan tanggungjawab kepada masyarakat pula menjelang. Dengan masih lagi dalam Kempen Seorang Sekampit Beras, penyampaian sumbangan kepada beberapa keluarga disempurnakan pada pagi itu setelah semuanya berkemas dan bersiap untuk pulang. Ustaz Razak selaku Timbalan YDP ABIM Johor telah sama-sama turun padang menyampaikan sumbangan kepada beberapa buah keluarga yang terpilih.
Sekian dulu untuk laporan program pada kali ini. Bersama-sama ini disertakan beberapa petikan gambar yang dirakamkan untuk perkongsian semua. Moga usaha yang sedikit ini akan mampu memberi manfaat yang banyak dan diberkati Allah hendaknya. Ameen. Jazakallahu Khairan Jaza..