Ads 468x60px

Photobucket

Jun 12, 2008

Integrasi Pendidikan Alam Sekitar Perspektif Islam

Oleh: MUHAMMAD IZZUDIN SYAKIR ISHAK
(Sumber dari Utusan Malaysia, 6 Jun 2008)

SETIAP tahun pada tarikh 5 Jun, Hari Alam Sekitar Sedunia (HASS) disambut oleh warga dunia dengan pelbagai program yang memfokus terhadap usaha mempertingkatkan kesedaran menjaga alam sekitar dari pelbagai aspek meliputi falsafah pendidikan, dasar pembangunan, hubungan kerjasama serantau, aktiviti ekonomi serta gaya dan cara kehidupan moden masa kini.

Pada tahun ini, sambutan HASS telah disambut di Wellington, New Zealand dengan tema Kick the Habit yang merujuk kepada kebiasaan atau tabiat manusia yang melakukan aktiviti tidak mesra alam sehingga menyebabkan kemudaratan terhadap dunia seperti pemanasan global, perubahan iklim dan pencemaran alam.

Jika kita melihat kemusnahan alam daripada perspektif al-Quran, di dalam Surah Al Rum :47, jelas sekali bahawa kerosakan yang telah berlaku sama ada di laut dan di darat disebabkan oleh tangan-tangan manusia.

Prof. Hamka menafsirkan kerosakan (fasad) ini adalah dalam bentuk pencemaran alam. Begitu juga Ibn Katsir, beliau telah menafsirkan bahawa antara bentuk kerosakan yang telah berlaku ialah kemerosotan produktiviti hasil pertanian.

Buktinya, fenomena kenaikan harga makanan global baru-baru ini adalah disebabkan oleh kemerosotan produk pertanian kesan perubahan iklim dunia.

Kini, warga dunia telah menyedari bahawa tabiat 'tak pa' yang telah sebati dalam diri mereka telah memberi kesan yang sangat mendalam terhadap kehidupan manusia sendiri. Maka tema HASS tahun ini telah menyarankan warga dunia ke arah ekonomi rendah karbon melalui pengkajian semula aspek kehidupan insan supaya bersifat mesra alam dan memenuhi ciri kelestarian.

Justeru, langkah pertama ke arah ekonomi neutral karbon, ialah dengan membuang sejauh-jauhnya tabiat negatif yang telah menyebabkan bumi binasa.

Meninggalkan tabiat negatif yang sudah sebati dengan kehidupan, merupakan suatu usaha yang sangat mencabar. Sehinggakan dalam satu sesi temu ramah bersempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-50, apabila satu soalan telah diajukan kepada Prof. Emiretus Datuk Khoo Kay Kim tentang apakah perkara yang ingin beliau lakukan jika beliau boleh melakukannya? Jawapan ringkas beliau ialah merubah tabiat manusia. Justeru, benarlah kata pepatah Melayu bahawa melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Menurut Dr. Abdullah Nasih Al Ulwan (pengarang buku Tarbiah Al-Aulad), antara kewajipan ibu bapa dalam mendidik anak-anak ialah memberikan pendidikan iman melalui pemerhatian terhadap sistem alam yang akhirnya mengukuhkan keimanan anak-anak secara logik dan argumentatif (rujuk Al Quran:Al Nahl:10-17).

Apabila pemikiran anak-anak yang bersih ini disemai dengan benih-benih tauhid secara mendalam, maka lahirlah jiwa-jiwa yang mampu mengartikulasikan permasalahan sesuatu isu secara substantif dan efektif.

Dalam konteks Malaysia, pendidikan pembangunan lestari memerlukan integrasi ilmu Al-Quran, sains serta pemerkasaan budaya timur masyarakat Malaysia sedia ada dalam usaha memelihara khazanah alam.

Negara Jepun telah membuktikan bagaimana kekuatan budaya mampu menganjak paradigma masyarakat mereka menjadi masyarakat yang prihatin tentang isu alam sekitar khususnya berkaitan pengurusan sisa pepejal.

Mentaliti Mottainai yang menggambarkan semangat masyarakat Jepun di mana apabila mereka menggunakan sesuatu barang yang dibeli, mereka akan menghargai serta menjaga barang itu sebaik-baik mungkin tanpa sebarang unsur pembaziran, sekali gus mengurangkan penjanaan penghasilan sisa pepejal.

Di Malaysia, kadar kitar semula masih di bawah lima peratus, anggaran sisa pepejal yang telah dibuang ke tapak pelupusan ialah pada kadar 95-97 peratus manakala gas-gas rumah hijau yang terhasil dari aktiviti penguraian dan pereputan di tapak pelupusan sampah khususnya metana telah menyumbang sebanyak 53 peratus.

Secara keseluruhannya, sisa pepejal telah menyumbang pada anggaran sebanyak 19 peratus daripada keseluruhan pelepasan gas rumah hijau di Malaysia (tahap peratusan pada tahun 1994).

Justeru, pendidikan kesedaran alam sekitar harus bermula dari rumah dengan ibu bapa bertindak sebagai contoh tauladan kepada anak-anak. Pengetahuan tentang keselamatan, kesihatan dan pengurusan alam sekitar di rumah perlu diperluaskan dalam program-program pendidikan termasuk kursus pra-perkahwinan yang telah ditetapkan kepada masyarakat Muslim.

Dengan bertambahnya pengetahuan tentang pengurusan alam sekitar serta meningkatnya tahap kesedaran masyarakat terhadap isu-isu kemerosotan kualiti alam sekitar maka tabiat baru yang lebih mesra alam dapat dibentuk.

Sesungguhnya memang sukar untuk kita menjalani kehidupan tanpa penghasilan karbon. Malah proses pernafasan harian manusia pun, menghasilkan karbon dioksida. Sisa organik daripada aktiviti pemakanan kita juga mengandungi sebatian karbon.

Pokoknya ialah kita harus menjalani kehidupan harian kita dengan azam dan tabiat baru yang mesra alam seperti penjimatan penggunaan elektrik, budaya 3R (Reduce, Reuse, Recycle) serta penggunaan kenderaan secara lebih efisien.

Semoga pembentukan tabiat baru yang lebih mesra alam sedikit-sebanyak diharap dapat menyumbang terhadap pengurangan pelepasan gas rumah hijau. Nukilan Imam Al Ghazali di dalam kitabnya Bidayah Al Hidayah, "Jika kamu tidak dapat melakukan kesemua kebaikan, janganlah ditinggalkan kesemuanya." Dalam erti kata yang lain, lakukanlah kebaikan sekadar yang termampu.