Surah Az-Zumar (Ayat :22 hingga 24)
.
Diskusi Usrah
.
Ayat 22 hingga 24 Surah az-Zumar ini merupakan sambungan daripada ayat yang sebelumnya. Dalam ayat ke-22, Allah memberi panjelasan tentang perbandingan antara orang yang telah dibuka hatinya untuk menerima Islam dan tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dengan orang yang tertutup mata hatinya oleh kederhakaan? ...Tentu sekali perbandingan itu tidak sama dan jauh panggang dari api, maka celakalah orang yang masih berdegil, keras hati untuk tidak mahu menerima Islam.
Ayat ke-23 Allah menegaskan bahawa al-Quran itulah hidayah yang diturunkan, yang bersifat berulang-ulang intipatinya, supaya hambaNya itu sentiasa diingatkan. Dan seperkara yang penting, Allah berfirman "...Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk Dengan Al-Quran itu kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadaNya." ...maka jelas, kita tidak berhak untuk menentukan siapa yang mendapat hidayah. Namun persoalan yang berbangkit, bagaimana seseorang itu dihukum, kerana 'pilihannya yang salah', asbab kekurangan ilmu yang ada padanya, lalu menyebabkan dia tidak diberi hidayah oleh Allah SWT?
...Sebab itu di dalam perbahasan seperti ini, sebelum suatu keputusan itu diambil, sudah pasti perkara pokok yang perlu ada pada setiap Muslim itu adalah ilmu. Lalu wajarlah ia dipertanggungjawabkan atas apa yang diputuskan berdasarkan kayu ukur ilmu yang ada.
...Dan lebih penting dari itu, perlunya individu Muslim itu sentiasa menghadirkan perasaan raja' wal khauf (takut dan berharap). Kerana tiada siapa pun (kecuali yang telah ditentukan Allah) dapat memastikan bahawa diri dan kehidupannya, adalah sentiasa dalam naungan keredhaan Allah. Oleh kerana itu, perbanyakkan amalan kerohanian, moga dengan cara itu jualah nanti kita sentiasa ditegur akan kesilapan kita (melalui ujian dan sebagainya) oleh Allah SWT.
Ayat ke-24, sekali lagi Allah memperlihatkan betapa putus harapannya mereka, yakni orang yang telah Allah janjikan azab seksa, sehingga digambarkan bahawa mereka hanya mampu menahan diri dengan mukanya sahaja (tidak mampu berbuat apa-apa), akan selaran azab yang buruk pada hari kiamat. "...dan (pada saat itu) dikatakan kepada orang-orang yang zalim itu: "Rasalah (balasan) apa yang kamu usahakan dahulu".
Moga kita sentiasa menginsafi diri dan bermuhasabah akan setiap amalan yang akan, sedang dan telah kita lakukan. Wallahu'alam.
.