Ads 468x60px

Photobucket

Ogos 02, 2012

Info SP: Misi Sumbangan KSSB di Mersing

Pada pagi 8 Ramadhan 1433H bersamaan 28 Julai 2012 ABIM Negeri Johor bersama-sama dengan ABIM Daerah Mersing telah menyampaikan sumbangan KSSB kepada 20 orang penerima di sekitar Kampung Tanjung Genting, Kampung Sri Lalang dan Kampung Teglu yang terletak di dalam daerah Mersing. Skuad KSSB berkumpul di Surau Kg. Tg. Genting pada pukul 9.45 pagi.


Skuad KSSB di daerah Mersing pada kali ini melibatkan Sdra. Zainudin Zakaria (YDP ABIM Mersing), Muhammad Hanis Zakaria (PSU ABIM Mersing), Pn. Nur Fauzana Abd. Rahman (Helwa ABIM Mersing) dan Sdra. Ahmad Rasmi (Ahli ABIM Mersing). Sementara ABIM Negeri Johor pula diwakili oleh Sdra. Mohd. Sidek Roslan (PSU), Sdra. Aziz Ali (Exco) dan Sdri. Shakinah Ali (Exco). Setelah memastikan semua barang-barang sumbangan siap sedia, para aktivis bergerak dengan 2 buah kenderaan mpv untuk ke rumah para penerima.


Para penerima terdiri daripada fakir, miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Masyarakat berkeperluan di sini rata-rata berpendapatan di bawah RM 500.00 sebulan dan kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan mengambil upah kerja-kerja kampung. Manakala, bagi ibu-ibu tunggal pula ada yang mengambil upah menjahit baju dan berniaga kecil-kecilan. Bagi ibu-ibu tunggal yang tidak bekerja, mereka mengharapkan pendapatan anak-anak yang rata-rata hanya melakukan kerja-kerja kampung. 

Seorang penerima yang miskin dan hanya bekerja sebagai nelayan meluahkan rasa kesal apabila rumahnya yang telah hampir 3 tahun roboh dan hanya tinggal bahagian dapur yang juga hampir roboh, tidak mendapat sebarang pembelaan atau apa-apa bantuan daripada pihak berwajib.

Aktiviti Skuad KSSB 2012 di daerah Mersing berakhir pada pukul 1.00 tengahari setelah selesai menyampaikan 20 set sumbangan kepada para penerima di rumah masing-masing.

Sumber dari: Web Skuad Prihatin