Ads 468x60px

Photobucket

Ogos 13, 2012

Ihya Ramadhan 1433 ABIM di Pontian

Alhamdulillah, ABIM Negeri Johor telah berjaya menganjurkan Program Ihya Ramadhan 1433/2012 peringkat daerah Pontian (Kumpulan 3) bagi tahun ini yang bertempat di Masjid Jamek Telok Kerang, Pontian pada 11 hingga 12 Ogos 2012 bersamaan 22 hingga 23 Ramadhan 1433H yang lalu. Kali ini penganjurannya adalah dengan kerjasama pihak Jawatankuasa Masjid Jamek Telok Kerang, Pontian sendiri dan telah berjaya menarik penyertaan daripada para pelajar lelaki Muslim yang berumur lingkungan 13 hingga 18 tahun dari sekitar kawasan perkampungan Telok Kerang, Rambah, Rimba Terjun dan Penerok.


Program ini telah bermula seawal 9.00 pagi dengan para peserta mendaftarkan diri di masjid dan disusuli dengan sesi Solat Dhuha beramai-ramai.  Kemudian para peserta diberikan taklimat oleh Penyelaras Program merangkap Setiausaha ABIM Daerah Pontian, Sdr. Zoolhilmi Ahmed dan diikuti dengan Sesi Pengenalan Program oleh Ustaz Omar Maidin, Yang Di-Pertua ABIM Daerah Pontian. Melalui amanatnya, beliau menyentuh tentang peri pentingnya menunaikan solat yang kemas, terbaik dan sempurna berdasarkan sejarah penurunan arahan kewajipan solat yang begitu agung dan mulia melalui peristiwa Isra’ Mi’raj. Malah solat itu sendiri banyak memberi kebaikan dari aspek kesihatan fizikal.

Antara aktiviti pengisian program ini ialah Sesi Ice-Breaking dan Perkenalan, Brainstorming dan Perbincangan Kumpulan, Pembentangan dan Praktikal Pergerakan dalam Wudhu’ dan Solat. Semua aktiviti ini telah dijalankan secara kumpulan kecil yang dikendalikan oleh para fasilitator. Program ini juga telah menjemput Ustaz Haji Ab Razak Aripin, Yang Di-Pertua ABIM Negeri Johor bagi mengisi slot Tazkirah Berbuka Puasa, selain Sdr. Mohd. Azamuddin Ahmat Miskam, Exco Prihatin ABIM Begeri Johor yang menyampaikan Sesi Ceramah “Khasiat Solat dari Perspektif Sains dan Kesihatan”.

Selain itu, para peserta juga tidak ketinggalan bersama-sama mengikuti Solat Tarawih dan Witir berjemaah bersama qariah masjid dan menghidupkan salah satu daripada 10 malam terakhir Ramadhan dengan aktiviti Qiamullail seawal jam 4.00 pagi yang diketuai oleh YDP ABIM Pontian sendiri.

Menariknya pada hari kedua program, para peserta telah didedahkan dengan pengalaman aktiviti-aktiviti khidmat sukarela dan kemasyarakatan melalui aktiviti gotong-royong membersihkan rumah penerima asnaf zakat di kawasan Telok Kerang dan penyampaian sumbangan kepada mereka yang didanai oleh Kempen Seorang Sekampit Beras yang di gerakkan oleh Skuad Prihatin ABIM Johor. Dapat dilihat keceriaan dan kepuasan di wajah para peserta yang seronok dan gembira dapat melakukan kerja-kerja amal seperti itu lebih-lebih lagi ketika di bulan Ramadhan dan sedang berpuasa.

Program berakhir pada hari kedua seusai Solat Zuhur berjemaah dan diakhiri dengan Misi Penyampaian Sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) di sekitar Mukim Rimba Terjun, daerah Pontian yang turut disertai oleh beberapa orang peserta yang terus berminat menjadi sukarelawan dakwah Skuad Prihatin ABIM Johor. Tahniah!