Ads 468x60px

Photobucket

Julai 21, 2012

Perutusan Ramadhan YDP ABIM Johor

SELAMAT DATANG KE MADRASAH TARBIYYAH RAMADAN

Saya mengucapkan selamat datang dan marhaban ya Ramadan. Sama ada kita menanti atau tidak Ramadan pasti akan hadir setiap tahun. Bulan berkat bulan rahmat bulan yang padanya keampunan dari Allah.

Sebagai ahli Jamaah adalah diseru agar menghayati bulan ini dan menjadikan bulan ini sebagai madrasah tarbiyyah untuk memantapkan Jiwa dan Raga, membina keyakinan yang jitu kepada janji Allah untuk tenteranya, menyerap cahaya ilahiyyah dalam menjadi daie yang berkesan dan menghayati perjuangan Baginda Rasulullah agar syafaatnya dapat digapai.

Di dalam hadis Qudsi Allah berkata “Carilah aku ditengah-tengah orang yang dizalimi, yang susah dan sakit”. Hadis qudsi ini menjelaskan bahawa jika kita mahu mencari keredhaan dan keampunan Allah maka banyakkan membantu secara terus golongan yang dizalimi, golongan yang susah, papa, miskin dan melarat seterusnya menziarahi orang yang sakit. Sehubungan dengan itu, saya berharap semua daerah mengambil peluang di bulan yang mulia ini menggunakan program sekampit beras untuk mendekati terus golongan yang memerlukan agar kelak ini berjaya mendapat erti dan makna hadis Qudsi di atas.

Ahli Jamaah sekalian, marilah kita menjadikan madrasah tarbiyyah ramadan tahun ini yang paling baik untuk peningkatan komitmen kita untuk gerakan tercinta ini. Kerja membaiki umat masih banyak dan kejayaan masih jauh lagi. Tetapkan semangat dan pendirian untuk perjuangan. Istilah berjuang menunjukkan tiada jalan mudah dan senang untuk kita lalui. Sabar dan ikhlas dalam menjalankan tugas dan amanah. Jaga hubungan sesama ahli jamaah WADAH, ABIM dan KPIJ. Tingkatkan rasa hormat dan berlapang dada dengan pandangan dan pendapat sesama ahli jamaah.

Akhirnya saya berharap agar kita mendapat anugerah taqwa dari Allah setelah menjalani ibadat puasa kali ini dengan sebenar-benar taqwa.

Sekian, Wassalam.

Salam Ramadhan,
Ustaz Haji Ab Razak Aripin
YDP ABIM Johor