Ads 468x60px

Photobucket

Ogos 20, 2011

Menggapai Malam Al-Qadar

Oleh: Hasri Harun (Exco Dakwah ABIM)

Apabila datang bulan Ramadan pada setiap tahun umat Islam diperingatkan semula tentang satu malam yang begitu besar maknanya iaitu malam al-Qadar. Malam al-Qadar atau dalam bahasa arab disebut lailatul Qadar terdapat beberapa makna.

Lailatul Qadar menurut Ibnu Abbas, Ikrimah dan Sa’id bin Jubair membawa maksud malam keputusan; atau malam penetapan. Manakala tafsir Qurtubi dalam menjelas ayat surah al-Nasr pula menjelaskan bahawa maknanya adalah malam yang sempit.

Dinamakan demikian kerana pada malam itu bumi sesak ataupun sempit dengan para malaikat. Dalam al-Quran disebut oleh Allah SWT bahawa malam tersebut ganjarannya seumpama seribu bulan. Lailatul qadr merupakan malam yang diberkahi. Allah Ta’ala berfirman al-Dukhan ayat 1-6 yang bermaksud

“Haa Miim. Demi Kitab (al-Quran) yang menjelaskan. Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. (Iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus rasul-rasul sebagai rahmat dari Rabb-mu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Bagi mereka yang teguh imannya pastinya akan berasa terkejut dengan hadiah Allah SWT yang begitu besar bagi mereka yang benar-benar memperolehi malam tersebut.

Bandingan satu malam yang dinamakan sebagai malam al-qadar dengan seribu bulan sama juga seumpama 83 tahun. Kiraan secara zahir ini menunjukan betapa besar pahala yang Allah swt berikan kepada umatnya bagaimana tempoh 83 tahun tersebut seolah-olah satu umur bagi seorang manusia yang hidup dimuka bumi ini.

83 tahun adalah tempoh agak panjang sebagai manusia, namun satu malam al-qadar itu amat bermakna sekali. Namun dalam huraian hadith begitu banyak penjelasan diberikan tentang tarikh sebenar bilakah malam al-qadar tersebut.

Perdebatan yang dilakukan oleh para ulama dan muhaddithin ini mengundang kita memikirkan kenapakah tiada satu masa yang tunggal bagi kita untuk mendapat ketetapan Allah swt agar kita sedia dan mampu meraih malam al-qadar dengan mudah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?"

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

Pengurniaan malam al-qadar oleh Allah swt dalam bulan Ramadan dengan segala perselisihan masa yang tepat bilakah ianya berlaku mengundang kita sebagai hambaNya berfikir apakah makna disebalik anugerah ini.

Sebagai pencipta alam ini pastinya Allah menghendaki kita agar sentiasa bersedia tidak kira pada awal masa, pertengahan dan akhir Ramadan agar sentiasa berusaha mencari bilakah malam al-Qadar sebenarnya. Ertinya disini Allah SWT ingin menguji dan menawarkan kita satu pertandingan dikalangan hambaNya siapakah dikalangan mereka yagn benar-benar ikhlas mencari malam al-Qadar.

Wujudnya kesedaran untuk mencari malam al-Qadar ini tidak akan terbit semata-mata untuk berada dalam suasana hening malam dan bangun untuk melihat peristiwa apa yang bakal berlaku semata-mata.

Namun disebalik usaha dan ikhtiar manusia mencari malam al-Qadar ini selain merebut pahala berganda tersebut adalah manifestasi cinta kita kepada Tuhan yang menganugerahkan nikmat dan kasih sayangnya kepada seluruh hambaNya.

Cinta kita kepada Allah yang ikhlas dan kasih sayang yang diterima tanpa berbelah bahagi daripadaNya yang mampu membangkitkan kesedaran iman dan taqwa untuk mencari malam al-Qadar tersebut kerana telah dijanjikan Allah swt bahawa pada malam tersebut diturunkan para malaikat untuk melihat dunia siapakah yang sedang melaksanakan ibadah kepada Tuhannya.

Tanpa rasa cinta dah kasih kepada Tuhan mana mungkin kita bersedia untuk bangun malam, membuka segala kelemahan kepada Nya, memohon keampunan dan mendoakan kesejahteraan hidup didunia & akhirat. Hanya mereka yang teguh iman, tegap taqwanya bersedia menghadapi ujian bangun malam dengan gigih.

Inilah hakikat pencarian malam al-Qadar yang harus dipelajari. Pencarian ini juga jangan dilihat sebagai satu usaha yang kosong dan dijadikan pesta untuk meraih malam yang penuh barakah ini.

Mulakan diri dengan kesedaran dan tingkatkan rasa iman yang benar–benar semata-mata untuk mencari keredhaan Allah semata-mata. Mari kita sama-sama renung firman Allah dalam surah Saba’ ayat 46 yang bemaksud:

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu.”

Sesungguhnya sebagai Khaliq dan pencipta alam ini, sudah tentulah Allah SWT ingin melihat melalui kekuasaan siapa dikalangan mereka hambaNya yang benar-benar berusaha dalam mencari peluang dan ruang pada malam al-Qadar tersebut.

Malam yang penuh dengan barakah ini dijanjikan Allah dengan pahala yang cukup besar melalui solat-solat sunat, tilawah al-quran dan muhasabah diri agar kita kembali merapatkan jurang yang sudah jauh dengan Allah swt. Sebagai hambaNya yang beriman sikap mencari keredaan Allah mesti dicipta dalam diri. Marilah kita bina kekuatan mencari malam al-Qadar dengan cinta dan kasih pada Nya.