Ads 468x60px

Photobucket

November 16, 2009

Kemaskini Penamaan Waris Akaun KWSP

Kepada : Untuk tindakan semua pengurus Agensi ABIM Johor

Sukacita dimaklumkan, bermula 15 November 2009 KWSP melancarkan kempen berkaitan kemaskini penama bagi pewaris bagi pemilik akaun KWSP. Berikut ialah info berkaitan perkara tersebut :

Kematian amat menyedihkan dan ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada orang tersayang. Anda perlu merancang bagi mengelakkan ahli keluarga menderita sekiranya anda meninggal dunia terutama sekali jika keluarga bergantung nafkah kepada anda.

Dengan membuat penamaan KWSP dan mengemaskinikannya, ahli keluarga boleh mengeluarkan simpanan KWSP anda dengan mudah jika berlaku kematian.

Jika anda TIDAK membuat dan mengemaskini penamaan, perkara berikut mungkin akan berlaku kepada keluarga anda:

1.    Mereka terpaksa melalui proses yang sukar untuk mendapatkan dokumen-dokumen seperti Surat Kuasa Mentadbir, Surat Probet atau Perintah Pembahagian daripada pihak berkuasa sebagai dokumen sokongan untuk mengeluarkan simpanan KWSP. Proses ini mengambil masa yang lama dan kemungkinan dikenakan bayaran oleh pihak berkuasa berkaitan. Sebaliknya, jika penamaan KWSP telah dibuat, semua dokumen ini tidak diperlukan dan proses pengeluaran simpanan akan menjadi lebih mudah dan lancar.

2.    Pihak berkuasa yang mengeluarkan dokumen sokongan akan menentukan keutamaan individu yang layak menerima simpanan anda. Ini boleh menyebabkan berlaku konflik di kalangan ahli keluarga. Jika penamaan telah dibuat, simpanan KWSP akan dibayar kepada penama yang telah anda namakan. Untuk ahli beragama Islam, penama akan bertindak sebagai pentadbir (wasi) yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan anda mengikut Hukum Faraid.

Oleh hal yang demikian, pihak Sekretariat ABIM Negeri Johor meminta kerjasama proaktif daripada semua pengurus agensi ABIM Johor menggerakkan staf di bawah tanggungjawab tuan yang memiliki akaun KWSP agar menyegerakan urusan tersebut. Tindakan proaktif tuan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.
   
Sekian, terima kasih

“ 1 UMMAH 1 HALA TUJU ”

Yang benar,
MOHD SALEHUDDIN BIN AHMAT MISKAM
Setiausaha ABIM Negeri Johor (019-7718648)
Sesi 2009/2010


Daripada : Sekretariat ABIM Negeri Johor