Ads 468x60px

Photobucket

Disember 03, 2008

Petisyen Membantah PPSMI


Kami warga Malaysia, yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan kepada peranan Bahasa Melayu, terutama sebagai bahasa ilmu dan pendidikan, yang terus berlaku di Malaysia.

Pada tahun 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan bahasa melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.

Adalah amat mengecewakan apabila pemimpin melayu kini sudah tidak memiliki sensitiviti untuk mempertahankan nasib bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama tidak menghormati peruntukan undang-undang tertinggi negara yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar yang menjamin kedudukan bahasa Melayu yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu juga sudah dianggap tidak relevan dan tidak dinali sebaik-baiknya.

Pelaksanaan dasar Pengajaran Sains dan Matemaik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilihat tergesa-gesa ini amat bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara.

Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah memberi definisi jelas kepada maksud sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Menurut Seksyen 2, Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah Rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan - (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Seksyen 17(1) Akta Pendidikan juga menyatakan Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.

Di atas ini sebenarnya adalah sedikit petikan yang diambil dari Petisyen Membantah PPSMI yang dipengerusikan oleh saudara Muhamad Faisal Abdul Aziz (Naib Presiden Antarabangsa PKPIM).

Teman-teman, jika rakan-rakan kita yang berbangsa Cina dan India juga ingin anak-anak mereka didik dengan bahasa ibunda, tak kan kita (bangsa Melayu) ingin menjual bahasa ibunda kita? Jadi tunggu apa lagi? Mari kita bantu perjuangan ini. Klik di sini untuk menandatangani petisyen tersebut secara online (anda hanya perlu sertakan nama penuh, no. kad pengenalan dan komen).

Terima kasih kerana sayangkan bahasa Melayu.

.