Siaran Media 21 Disember 2008/23 Zulhijjah 1429H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebagai sebuah institusi rakyat yang prihatin, membantah keras cadangan menswastakan Institut Jantung Negara (IJN) kepada Sime Darby Sdn. Bhd. IJN merupakan satu-satunya pusat perubatan pesakit jantung di negara ini yang menawarkan perkhidmatan yang bermutu dengan kadar bayaran yang berpatutan. Penswastaan IJN yang bermotifkan keuntungan komersial dikhuatiri akan meningkatkan kos rawatan yang seterusnya membebankan pesakit. ABIM menegaskan bahawa perkhidmatan kesihatan adalah berteraskan keperluan umum atau public need yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan secara percuma atau pada kadar yang berpatutan.
Penswastaan IJN kepada sebuah syarikat swasta yang tak dapat tidak bermotifkan perniagaan sudah tentu boleh menyebabkan tanggungjawab sosial ini tidak dilaksanakan dengan berkesan, malah menafikan hak rakyat untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang bermutu dengan kos yang berpatutan. ABIM menegaskan bahawa sebarang usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negara ini perlu mengambilkira faktor tanggungjawab sosial kerajaan kepada rakyat. Sehubungan dengan itu, ABIM menggesa kerajaan agar tidak hanya menangguhkan penswastaan IJN sepertimana yang diputuskan oleh kabinet Jumaat lalu, tetapi membatalkan terus hasrat tersebut.
"MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN"
YUSRI MOHAMAD
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia
"MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN"
YUSRI MOHAMAD
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia