Ads 468x60px

Photobucket

Februari 11, 2008

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)





MUQADDIMAH

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO)  yang telah ditubuhkan pada  6 Ogos 1971 dan didaftarkan secara rasmi pada tahun 1972. Muktamar ABIM yang pertama telah diadakan pada tahun 1972 di Kuala Lumpur.

ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana (moderate) berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. Walaupun ABIM menangani isu-isu politik, namun ia sentiasa bersikap non-partisan; bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana parti-parti politik.

VISI ABIM

Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah

MISI ABIM

Gerakan Islam yang komprehensif untuk merealisasikan cita-cita Islamiyyah

BUDAYA ABIM

1. Budaya Ilmu
2. Amalan Kerohanian
3. Syura & Amal Jama’iy
4. Memahami Isu-Isu Semasa
5. Ruhul Jihad Fisabilillah


OBJEKTIF PENUBUHAN ABIM

1. Menegak, mengembang dan memperjuangkan cita-cita Islamiah sesuai dengan asasi Al-Quranul Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w

2. Menjalankan dakwah Islamiah dengan cara yang progresif kepada seluruh lapisan masyarakat dengan syarat mendapat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Negeri yang berkenaan

3. Menggembleng tenaga belia Islam seluruhnya untuk sama-sama bekerjasama memberi bantuan dan sokongan untuk meningkatkan taraf kehidupan dalam semua lapangan termasuk sosial, ekonomi, pelajaran, kebudayaan, falsafah dan teknologi

4. Bekerjasama dan mengeratkan perhubungan dengan mana-mana badan yang mempunyai tujuan yang sejajar dengan ABIM tanpa mengira kaum bagi mewujudkan rasa persahabatan dan harmoni di peringkat kebangsaan dan antarabangsa

5. Mewakili belia-belia Islam di persidangan-persidangan di dalam dan luar Negara

6. Menjalankan kegiatan-kegiatan lain yang tidak bercanggah dengan ajaran asasi Al-Quran dan Sunnah.


LATAR BELAKANG : ABIM NEGERI JOHOR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Johor telah ditubuhkan pada 16 Julai 1973 di Pejabat Kebajikan Masyarakat, Jalan Awang, Segamat, Johor.

Pada peringkat awal pejabat ABIM Negeri Johor terletak di No. 7-A Jalan Sahabat, Kg Melayu Majidee, Johor Bahru. Kemudian berpindah ke No. 10 Mustika Embun, Jalan Abd Rahman Andak, Johor Bahru dan seterusnya di No. 10 Jalan Padi Ria 13 Bandar Baru UDA, Johor Bahru. Kini Sekretariat ABIM Negeri Johor telah kembali ke No. 10 Mustika Embun, Jalan Abd Rahman Andak, Johor Bahru.

Jawatankuasa pengurusan tertinggi ABIM ialah Jawatankuasa Kerja Pusat yang diketuai oleh Presiden. Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat ini dilantik secara syura di Muktamar Belia Islam setiap dua tahun sekali yang diamanahkan untuk merancang seterusnya melaksanakan projek-projek dan aktiviti-aktiviti ABIM di pelbagai peringkat.

Jawatankuasa Kerja Negeri dan Daerah pula ditubuhkan untuk merancang dan menjalankan program-program dakwah di peringkat negeri dan daerah masing-masing. Jawatankuasa Kerja Negeri diketuai oleh Yang Di-Pertua.

Berikut merupakan senarai Yang Di-Pertua ABIM Negeri Johor sejak ditubuhkan :

Yang Di-Pertua ABIM Johor Pertama
YBhg. Ustaz Abdul Manan Bin Abdul Majid

Yang Di-Pertua ABIM Johor Kedua
YBhg. Tuan Hj. Mohd. Ayub Bin Ahmad

Yang Di-Pertua ABIM Johor Ketiga
YBhg. Ustaz Ab Gani Bin Jalil

Yang Di-Pertua ABIM Johor Keempat
YBhg. Ustaz Azmi Shah Bin Suratman

Yang Di-Pertua ABIM Johor Kelima
YBhg. Tuan Hj. Shafudin Bin Mohd Yatim

Yang Di-Pertua ABIM Johor Keenam (Kini)
YBhg. Dr. Hj. Shahrum Shah Bin Abdullah

SEKRETARIAT ABIM JOHOR

Sekretariat ABIM Negeri Johor diuruskan oleh oleh staf sepenuh masa dan dibantu oleh ahli dan juga sukarelawan. Sekretariat ABIM Negeri Johor bertanggungjawab untuk :

1. Melaksanakan segala keputusan, dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh AJK ABIM Negeri Johor dalam menjayakan visi dan misi ABIM keseluruhannya.

2. Menyelaraskan, menjayakan serta merealisasikan agenda ABIM Negeri Johor melalui pelbagai mekanisme sama ada  program, usaha dan lain-lain

3. Memenuhi program jemputan anjuran pelbagai pihak  sama agensi kerajaan, swasta, IPT  mahupun NGO yang terlibat dalam proses pembangunan kualiti keinsanan masyarakat pelbagai sektor di negeri ini

4. Membina jaringan dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, swasta mahupun NGO lain untuk menyalurkan pandangan, input serta cadangan dalam meningkatkan kualiti keinsanan masyarakat pelbagai sektor di negeri

5. Memantau perkembangan pembangunan kualiti ahli melalui pelbagai pendekatan.

ABIM DI NEGERI JOHOR

Program ABIM Bersama Umat

Hari Bersama Komuniti yang dianjurkan di peringkat daerah dan mukim merupakan aktiviti lapangan ABIM yang menawarkan peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan pelbagai manfaat melalui penglibatan agensi kerajaan, penguasa tempatan, sektor swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan.

Insitusi Pendidikan Islam

Sekolah SRI Johor Bahru telah ditubuhkan pada 1989 untuk memberikan pendidikan Islam bersepadu kepada generasi muda. Ia terdiri daripada 360 orang pelajar di darjah 1 sehingga 6 dengan sokongan 30 orang guru pelbagai bidang dan kakitangan pentadbiran sekolah sepenuh masa. Manakala terdapat sebanyak 60 Tadika Islam yang dikendalikan di seluruh daerah dengan 120 orang guru dan kakitangan sepenuh masa. Ia dikelolakan oleh ABIM Daerah

Projek Harta Wakaf : Anjung Pulai Perdana

ABIM turut melancarkan Projek Harta Wakaf bagi mengadakan Pusat Pendidikan dan Dakwah seperti Nurseri, Kelas Pengajian Fardhu Ain, Kelas Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial. Objektif projek ini adalah untuk menggalakkan masyarakat menyumbang (infaq) melalui konsep wakaf.

Kempen Sumbangan Seorang Sekampit Beras

Program berbentuk ekspedisi tabung keprihatinan ini dirangka untuk mendekati dan memahami masyarakat Islam daripada pelbagai kaum dan budaya bagi memberi imej yang positif kepada aktiviti dakwah bil hal melalui pendekatan khidmat komuniti dan pembangunan sosial kepada masyarakat di luar Bandar. Pelbagai aktiviti komuniti seperti kursus, bimbingan, ziarah, motivasi, pemeriksaan kesihatan dan sebagainya dilaksanakan mengikut kesesuaian tempat dan masyarakat.

Konsep 10 Gaya Hidup Sihat

ABIM Negeri Johor menampilkan konsep 10 Gaya Hidup Sihat yang holistik demi kejahteraan hidup di dunia dan di akhirat selaras dengan tuntutan Islam. Cetakan awal buku 10 Gaya Hidup Sihat telah dilancarkan. Konsep ini juga telah dimodulkan dalam bentuk program, bengkel dan ceramah.